Cik Pelangi
Pelangi itu indah..biarlah hidup kita juga seindah pelangi..kerana kita semua hanyalah hamba..seperti pelangi yang kian sirna lama-lama meghilang..kita juga akan pulang menghadap ilahi..barlah disebut-sebut seperti pelangi sungguhpun muncul sekejap cuma..takkan dilupa keberadaan kita di dunia ini dek kerana indahnya hidup yang ditinggalkan..
Thursday, 20 November 2014
Monday, 15 September 2014
Bidadari Dunia
Bidadari,
Jelitanya dia..tiada tandingan,
Ukuran rupakah yang menjadi taruhan?
Hingga bisa digelar bidadari dunia?
Bidadari,
Jika itulah bandingannya,
Badadari syurgalah lebih segalanya,
Namun wanita dunia jua dicemburuinya,
Kerana apa?
Kerana bidadari dunia itu jauh lebih jelita,
Tiada tolok bandingnya,
Walau dengan segala isi dunia,
Bidadari dunia,
Cantik, jelita, ayunya dia,
Persis permata dicelahan kaca,
Bagai bintang bersinar kerdipnya,
Bidadari dunia,
Wujudnya dia mendamai jiwa,
Santun budinya mewangi kasih,
Luhur hatinya membangkit semangat,
Kerana dia wanita solehah,
Kerana dia srikandi bermaruah,
Kerana dia ibu nan tabah,
Kerana dia kekasih yang setia,
Bukan wajah penambat sukma,
Bukan lenggok jalan peragut jiwa,
Bukan lunak suara pendebar rasa,
Bukan perhiasan pemukau mata,
Hanya rendah hati perhiasan diri,
Hanya ikhlas wajah penyeri rupa,
Hanya cinta Ilahi penunjuk jalan,
Hanya redha Allah penguat iman,
Bidadari dunia,
Dialah dambaan para perindu syurga,
Dialah pendamping paling setia,
Dialah wanita solehah kekasih Allah.
Bidadari dunia dan syurga.
Jelitanya dia..tiada tandingan,
Ukuran rupakah yang menjadi taruhan?
Hingga bisa digelar bidadari dunia?
Bidadari,
Jika itulah bandingannya,
Badadari syurgalah lebih segalanya,
Namun wanita dunia jua dicemburuinya,
Kerana apa?
Kerana bidadari dunia itu jauh lebih jelita,
Tiada tolok bandingnya,
Walau dengan segala isi dunia,
Bidadari dunia,
Cantik, jelita, ayunya dia,
Persis permata dicelahan kaca,
Bagai bintang bersinar kerdipnya,
Bidadari dunia,
Wujudnya dia mendamai jiwa,
Santun budinya mewangi kasih,
Luhur hatinya membangkit semangat,
Kerana dia wanita solehah,
Kerana dia srikandi bermaruah,
Kerana dia ibu nan tabah,
Kerana dia kekasih yang setia,
Bukan wajah penambat sukma,
Bukan lenggok jalan peragut jiwa,
Bukan lunak suara pendebar rasa,
Bukan perhiasan pemukau mata,
Hanya rendah hati perhiasan diri,
Hanya ikhlas wajah penyeri rupa,
Hanya cinta Ilahi penunjuk jalan,
Hanya redha Allah penguat iman,
Bidadari dunia,
Dialah dambaan para perindu syurga,
Dialah pendamping paling setia,
Dialah wanita solehah kekasih Allah.
Bidadari dunia dan syurga.
Tuesday, 15 July 2014
Imperial War Museum London
Sejarah
Awal Penubuhan
Imperial War Museum diasaskan
pada tahun 1917 bagi memastikan generasi muda masa kini memahami sebab-sebab
dan yang paling penting sekali ialah akibat daripada Perang Dunia Kedua.
Peperangan ini mengambil masa bertahun-tahun untuk menangani konflik yang
tercetus.Pada tahun 1917, kabinet telah memutuskan bahawa ‘National War Museum’
perlu ditubuhkan bagi mengumpul dan mempamerkan bahan-bahan berkaitan Perang
Dunia yang mana masih lagi berterusan. Kesempatan ini diambil oleh Dominion
Goverments bagi mewujudkan sebuah muzium yang diberi nama ‘Imperial War
Museum’. Muzium ini ditubuhkan secara rasminya oleh Act of Parliament pada
tahun 1920 di bawah pengelolaan Board of Trustees.
Pada Julai 1936, Duke of York yang
kemudiannya ditabalkan sebagai King George VI telah membuka semula muzium
tersebut di bangunan sekarang. Muzium tersebut ditutup untuk kunjungan orang
awam bermula dari September 1940 hingga Noverber 1946 dan bahan atau artifak
yang terdedah telah dipindahkan untuk ditempatkan di luar London. Kebanyakan
daripada alatan perang itu masih terselamat, namun tidak bagi jentera perang
seperti Short Seaplane. Jentera ini telah diterbangkan dalam pernag Jutland,
telah berkecai ketika Jerman menjatuhkan bom ke atas Naval Gallery pada 31 Januari 1941 dan beberapa model lain juga
telah musnah dalam letupan terbabit.
Pada permulaan Perang Dunia
Kedua, istilah rujukan muzium tersebut telah diperluaskan bagi meliputi
kedua-dua perang dunia. Hal ini dilanjutkan hingga 1953 untuk memasukkan semua
operasi ketenteraan yang mana Britain atau Negara-negara Commonwealth yang
telah terlibat dalam peperangan tersebut sejak tahun 1914.Bangunan ini pada
asalnya ialah bahagian tengah Bethlem Royal Hospital atau ‘Bedlam’. Bangunan
ini telah direka oleh James Lewis dan telah siap dibina pada tahun 1815. Kubah
Sidney Smirke telah ditambah pada tahun 1846 dan bangunan ini juga mempunyai
gereja di dalamnya. Bahagian timur dan barat bangunan ini telah dirobohkan pada
awal 1930-an untuk dijadikan ruangan taman yang mengelilingi perkarangan muzium
sekarang ini.
Melihat semula sejarah Bethlem
Royal Hospital pada tahun 1247 apabila Simon Fizt-Mary, seorang kaya Alderman
dan pegawai polis London telah mengasaskan Biara St. Mary of Bethlehem di laman
yang sekarang ini adalah sebahagian daripada Liverpool Street Station. Pada
kurun ke-14, biara tersebut telah menjadi tempat jagaan orang-orang gila.
Kemudian pada tahun 1547, Henry VIII telah menjadikan hospital tersebut sebagai
‘City of London’.
Bethlem telah dipindahkan ke
bangunan baru di Moorefields pada tahun 1676. Sehingga tahun 1770, tidak ada
sebarang sekatan keatas pelawat melihat pesakit yang sering kali dibelenggu
atau dirantai pada dinding dan ianya menjadi satu tarikan kepada orang ramai.
Hospital tersebut ditempatkan di bangunan sekarang sejak 1815 hingga 1930 yang
mana telah kemudiannya telah dipindahkan ke Eden Park berdekatan dengan
Beckenham, Kent.
Tuesday, 8 April 2014
Fenomena Musim Bunga di Malaysia
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Entri saya pada kali berkisarkan tentang fenomena musim bunga yang melanda Malaysia sejak penghujung Mac 2014 hingga sekarang. Apa yang uniknya dengan pemandangan sekitar kita sekarang ini adalah keindahan panorama pohon rendang yang berbunga lebat yang boleh dilihat dengan jelas di negeri-negeri di utara semenanjung juga di bahagian lain seperti di selatan tanah air.
Pemandangan ini mampu memukau setiap mata yang memandangnya dek kerana cantiknya bunga-bunga yang berkembang mekar dengan pelbagai warna lembut seperti pink, putih dan kuning. Seolah-olah kita berada di Jepun atau Korea sambil menikmati kembang mekar bunga Sakura.
Namun yang ada di Malaysia ini bukanlah pohon sakura tetapi sejenis tumbuhan asli yang diimport dari negara-negara Amerika Latin. Tumbuhan ini merupakan tumbuhan asli yang banyak terdapat di negara seperti Brazil, Argentina, Paraguay, Bolivia, Peru, Trinidad and Tobago, Venezuela, Mexico, Equador, Costa Rica dan kebanyakan negara Amerika Latin yang lain.
Pohon asli ini dikenali sebagai Tabebuia yang merupakan tumbuhan berbunga daripada keluarga Bignoniaceae. kebiasaannya tumbuhan ini merupakan sejenis tumbuhan yang tinggi dan rendang, namun ada juga sesetengahnya yang agak renek. Ada juga spesis tumbuhan ini yang dijadikan kayu tetapi kebanyakannya ia ditanam sebagai tumbuhan bunga hiasan.
Tabebuia merupakan tumbuhan 'American tropics' dan 'subtropics' dari Mexico dan Caribbean ke Argentina. Tumbuhan Tabebuia ini dianggarkan mempunyai antara 67 jenis yang boleh tumbuh subur di tanah yang beriklim tropika yang kering dan panas sepanjang tahun. Tidak hairanlah jika tumbuhan ini boleh hidup subur di negara Malaysia.
Antara jenis tumbuhan ini ialah Tabebuia Impetiginosa yang merupakan tumbuhan asli Bignoniaceae America yang boleh ditemui dari utara Mexico Selatan hingga ke utara Argentina. tumbuhan yang mengeluarkan bunga berwarna pink ini juga dikenali sebagai Pink Ipe atau Pink Lapacho adalah tumbuhan yang biasa dilihat di kawasan timur laut Argentina dan di tenggara Bolivia. ia juga mempunyai nama tempatan seperti Ipe-cavata, Ipe-comum, Ipe-reto, Ipe-rosa dan Lapacho negro.
Antara jenis lain bagi tumbuhan ini ialah Tabebuia Aurea, merupakan tumbuhan asli di Ameria Selatan seperti di Suriname, Brazil, timur Bolivia, Peru, Paraguay dan utara Argentina. Ia merupakan tumbuhan kering yang berbunga dan mampu tumbuh hingga mencecah ketinggian 8 meter. Pohon ini mengeluarkan bunga berwarna kuning cerah yang mempunyai diameter sehingga 6.5 cm.
Ada juga tumbuhan Tabebuia yang mengeluarkan bunga berwarna putih yang dikenali sebagai Tabebuia Roseo Alba atau White Ipe juga mempunyai nama tempatan seperti Ipe-branco dan Lapacho blanco. Ia merupakan tumbuhan asli di Cerrado dan Pantanal vegetation di Brazil serta di Argentina dan Paraguay. Namun spesis ini agak kurang popular berbanding Tabebuia yang berbunga pink dan kuning.
Jenis lain bagi tumbuhan Tabebuia ini ialah Tabebuia Serratifolia yang biasanya dikenali sebagai Yellow Lapacho, Yellow Poui, Yellow Ipe, atau Ipe-amarelo. Tumbuhan asli jenis ini banyak terdapat di kawasan Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Ia banyak ditanam di Cerrado vegetation di Brazil hingga ke French Guiana, Bolivia, Paraguay dan utara Argentina. Ia juga merupakan pohon hutan tropika yang paling besar dan paling kuat yang mampu membesar sehingga mencecah ketinggian 46 meter dan berdiameter antara 1.2-2.1 meter. Pohon ini juga dikormesialkan dan dikenali sebagai 'Ironwood' kerana ketahanannya.
Begitulah sedikit sebanyak informasi berkenaan sejenis tumbuhan beriklim tropika yang mengeluarkan bunga berwarna-warni iaitu Tabebuia. tumbuhan asli yang berasal dari kawasan Amerika Latin yang kini banyak didapati di Malaysia juga kerana ia mampu hidup di kawasan yang beriklim tropika yang kering dan panas. keunikan dan keindahan tumbuhan ini sangat menarik minat sesiapa yang memandangnya. Hinggakan ia dijadikan pokok kebangsaan bagi negara Brazil.
Sumber: Wikipedia, Wikimedia, Portal Rasmi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Wednesday, 12 March 2014
KESENIAN DAN KEBUDAYAAN MASYARAKAT MUSLIM MALABARI
Kesenian
dan kebudayaan Masyarakat Malabari
Pengenalan
Masyarakat Malabari adalah salah
satu daripada etnik yang terdapat di negeri Johor selain daripada masyarakat
Jawa, Bugis, Minangkabau dan Banjar. Adat budaya dan kesenian masyarakat
Malabari mempunyai keunikannya yang tersendiri yang telah diwarisi sejak
turun-temurun lagi. Kaum Malabar telah datang ke negeri Johor atas sebab
hubungan perdagangan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah zaman
Kepesatan industri getah di Tanah Melayu pada ketika itu. Mereka berasal dari
Kerala, India yang berhijrah ke Kepulauan Melayu melalui jalan laut sambil
menyebarkan ajaran Islam di sini. Antara penempatan-penempatan awal masyarakat
Malabari di Johor adalah seperti di Johor Bahru, Ulu Tiram, Masai dan Renggam. Masyarakat
Malabari masih lagi mengamalkan dan mengekalkan adat, budaya dan tradisi
warisan mereka meskipun setelah meninggalkan kampung halaman nenek moyang
mereka.
Masyarakat Malabari masih meneruskan
pekerjaan tradisional seperti berniaga, bertani dan juga mengembala kambing,
lembu dan kerbau di awal kedatangan mereka ke negeri Johor. Kaum wanita
masyarakat ini juga memainkan peranan penting dalam mengekal dan mencorak
kebudayaan mereka sebagai pendorong dalam keluarga bagi menempuh segala cabaran
dan dugaan sepanjang penghijrahan mereka ke negeri Johor. Bahasa ibunda masyarakat
Malabari adalah Bahasa Malayalam dan bahasa ini masih dikekalkan sebagai bahasa
pengantar dan komunikasi dalam proses pembelajaran dan kehidupan seharian. Kaum
Malabar adalah kaum yang sangat menitikberatkan kebudayaan dan adat resam
tradisional mereka sungguhpun berada jauh dari penempatan asal mereka.
Masyarakat ini juga dikenali sebagai masyarakat India Muslim di Malaysia.
Sosio
– Budaya Masyarakat Malabari
Projek pendokumentasian dan
pemugaran masyarakat Malabari di negeri Johor sedikit sebanyak memberi
informasi tentang kesenian dan kebudayaan mereka kepada masyarakat umum. Dengan
ini, orang luar dapat mengenali dan memahami adat resam dan pantang larang yang
diwarisi daripada nenek moyang mereka. Projek pendokumentasian budaya dan
kesenian rakyat Johor telah diusahakan oleh Yayasan Warisan Johor dan kini
adalah masa untuk mengenali kesenian dan kebudayaan Masyarakat Malabari dengan
lebih mendalam lagi. Pendokumentasian budaya dan kesenian masyarakat ini
merangkumi aspek sejarah, adat resam, pantang larang, kepercayaan, makanan,
perkahwinan, kesenian tradisi, perubatan tradisional dan pelbagai aspek lain
yang melambangkan budaya sesuatu kaum tersebut.
Negeri Johor adalah sebuah negeri
yang mempunyai taburan penduduk masyarakat Malabari yang tertinggi di Malaysia.
Etnik Malabari ini bermukim di sekitar Renggam, Masai, Chaah dan Ulu Tiram.
Masyarakat Malabari adalah suatu masyarakat yang mempunyai jati diri yang cukup
kuat dan tinggi sifat kesantunannya serta patuh kepada adat resam, pantang
larang dan juga berpegang kuat dengan ajaran agama Islam. Kaum Malabari juga
sangat mementingkan pelajaran dan pendidikan anak-anak . ini dapat dibuktikan
dengan wujudnya Madrasah sebagai tempat menimba ilmu terutamanya ilmu agama. Di
negeri Johor sahaja telah terdapat sebanyak 28 buah madrasah yang dibangunkan atas
daya usaha mereka sendiri sehingga ramai dikalangan mereka yang berjaya
memegang jawatan penting dalam masyarakat sekaligus meningkatkan kredibiliti
mereka dalam kehidupan bermasyarakat di sini.
Masyarakat Malabari mempunyai adat
resam dan pantang larang yang terlalu banyak yang harus mereka patuhi dan ikuti
dalam kehidupan seharian. Antaranya, pantang larang ketika bersalin, penjagaan
makan minum ketika berpantang selepas bersalin. Kaum wanita juga dilarang
membunuh nyamuk ketika mengandung, begitu juga dengan semut dan sebagainya.
Antara pantang larang lain yang masih diamalkan oleh masyarakat Malabari dalam
kehidupan seharian adalah melarang anak-anak keluar rumah selepas waktu isya’.
Apa yang menarik dalam masyarakat
Malabari ini adalah anak mudanya yang masih lagi berpegang teguh dengan adat
resam nenek moyang mereka dan masih mempraktikkannya lagi dalam kehidupan
seharian mereka. Contohnya seperti, jodoh anak-anak ditentukan oleh ibubapa dan
keluarga tanpa sebarang bantahan daripada anak-anak itu sendiri dan mereka
menurut sahaja kehendak orang tua masing-masing. Elemen kesenian juga merupakan
elemen penting dalam mencorak kebudayaan masyarakat Malabari, antara permainan
tradisional terkenal mereka ialah kolkali yang mengandungi unsure puji-pujian
terhadap para wali dan anbia.
Amalan
dan Adat Resam Masyarakat Malabari
Masyarakat Malabari mempunyai suatu
warisan budaya yang unik dan kelainan yang tersendiri yang diwarisi daripada masyarakat
terdahulu. Antara beberapa adat dan amalan yang mempunyai keunikan yang berbeza
daripada masyarakat Melayu adalah seperti upacara ketika baligh bagi seorang
gadis, adat mencuci kaki bagi pengantin lelaki, Kompang/Kolkali dan lain-lain.
Namun, mereka juga mengamalkan beberapa amalan yang sama seperti masyarakat
Melayu antaranya ialah tradisi berkhatan, bertindik, zikir, merisik, meminang
dan majlis nikah cuma mungkin cara pengamalannya sedikit berlainan daripada
kaum Melayu. Adat-adat yang masih diamalkan oleh masyarakat Malabari adalah
seperti berikut:
1. Berkhatan
Adat
berkhatan adalah adat yang sinonim dengan mayarakat Islam dan amalan ini
dilakukan kepada kanak-kanak perempuan ketika masih kecil lagi. Manakala bagi
kanak-kanak lelaki, majlis berkhatan akan diadakan ketika mencapai umur baligh.
Orang yang akan melangsungkan upacara khatan dikenali sebagai Tok Mudim, namun
dalam masyarakat Malabari, Tok Mudim lebih dikenali sebagai Vassan. Semua
peralatan yang digunakan dalam majlis berkhatan akan disediakan oleh Vassan
yang dibungkus dalam kain putih. Antara bahan yang diperlukan adalah
ubat-ubatan seperti jantung pisang segar bersama tangkai yang digunakan untuk
menghentikan pendarahan, pucuk pisang yang direbus dengan daun teh yang
digunakan sebagai anti septik/pembalut. Minyak kelapa gorengan bawang merah
pula digunakan sebagai ubat sapu setelah balutan daun pisang dibuka.
Bahan-bahan lain yang diperlukan ialah batang pisang, pisang muda dan sirap.
- Bertindik
Amalan
bertindik dilakukan kepada kanak-kanak perempuan sahaja. Adat ini dilakukan
oleh Mak Bidan yang lebih dikenali sebagai Vassati. Peralatan dan bahan yang
diperlukan ialah duri limau, kunyit basah, hati batang bawang putih dan subang.
Manakala minyak bijan pula digunakan sebagai ubat sapu.
- Zikir
Bagi
masyarakat Malabari, amalan berzikir telah dilakukan sejak turun-temurun lagi.
Amalan ini dijalankan secara mingguan dan hanya golongan lelaki sahaja yang
terlibat. Setiap kali mengadakan zikir mingguan ini, mereka akan menjemput
tetamu tertentu bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Acara berzikir ini akan
diadakan di madrasah yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka. Para peserta
yang menyertai majlis ini mestilah mengenakan pakaian serba putih iaitu kemeja,
vesti, ikat kepala atau baju pagoda berlengan, kain pelikat berkotak yang
berwarna lembut (kalli tunni), ikat kepala tuala ‘good morning’ putih.
- Baligh
Masyarakat
Malabari mempunyai adat yang unik bagi meraikan kanak-kanak perempuan yang baru
baligh. Kanak-kanak perempuan yang pertama kali datang haid akan didatangi oleh
jiran-jiran yang membawa bersama buah tangan seperti telur,susu, kuih muih dan
lain-lain. Kanak-kanak ini juga akan diberikan nasihat berkaitan dengan
perubahan pada dirinya. Bagi kanak-kanak perempuan yang pertama kali datang
haid, mereka akan diberi minum telur mentah bercampur minyak bijan selama 7-15
hari, kerana dipercayai dapat memberikan kekuatan pada pinggang dan tulang
belakang. Mereka juga akan diberikan makanan berkhasiat yang biasanya dimasak
dengan minyak sapi, herba-herba dan sup ayam atau daging.
Kanak-kanak ini akan diasingkan di
dalam sebuah bilik, mereka tidak dibenarkan keluar bilik kecuali ke tandas.
Mereka juga tidak dibenarkan berbual dengan kaum lelaki termasuk ahli keluarga
sendiri sehingga bersih daripada haid. Mereka akan diterangkan dengan adab-adab
ketika uzur dan bagaimana hendak menjaga kebersihan diri. Satu upacara meraikan
kanak-kanak perempuan tersebut akan diadakan selepas bersih daripada hadas
biasanya pada hari ke-10. Hanya ahli keluarga dan jiran-jiran perempuan sahaja
yang akan hadir dalam majlis tersebut. Kanak-kanak tersebut akan dilumurkan
dengan kunyit yang tumbuk keseluruh tubuhnya manakala kepala pula akan disapu
dengan minyak bijan. Saudara perempuan kanak-kanak tersebut iaitu nenek atau ibu
saudara akan mengajarkan cara-cara mandi wajib. Sabun yang digunakan ketika
mandi ialah bahan tradisional iaitu kacang hijau yang digiling bersama kulit
pokok pulai dan beras manakala serbuk ‘siakkah’ digunakan sebagai syampu.
Setelah itu, kanak-kanak tersebut
akan di bawa ke sungai untuk dimandikan dengan ditemani oleh sanak saudara dan
rakan-rakan. Sungai merupakan simbol kebersihan maka itulah sebabnya
kanak-kanak tersebut di bawa ke sungai supaya memahami erti mandi dengan
bersih. Kemudian, kanak-kanak tersebut akan dipakaikan dengan pakaian baru dan
dipakaikan juga barang kemas untuknya. Wajah kanak-kanak ini akan ditutup
sehingga ditunjukkan kepada saudara lelakinya sama ada abang atau adik
lelakinya. Kanak-kanak perempuan tersebut akan disuruh melihat pohon kelapa
yang sarat berbuah sebagai simbolik kepada kesuburan dan sentiasa berguna
seperti pohon kelapa tersebut. Kanak-kanak tersebut kemudiannya dihidangkan
dengan kelapa muda yang diracik berserta gula melaka sebagai manisan. Majlis
doa selamat pula akan diadakan pada sebelah petang atau malam oleh keluarga
kanak-kanak tersebut dan proses mencari jodoh akan dimulakan.
- Kompang/Kolkali
Bagi
permainan kompang atau kolkali pula akan dipersembahkan oleh kumpulan kompang
yang disertai seramai sepuluh orang peserta dengan seorang penyanyi. Kumpulam
kompang ini akan mempersembahkan persembahan Kompang Adrah dan persembahan
Kolkali. Antara alatan yang diperlukan ialah pakaian tradisional lengkap,
kompang dan kayu kolkali.
Adat
Perkahwinan Masyarakat Malabari
Masyarakat Malabari juga
mementingkan adat dan tradisi perkahwinan seperti mana masyarakat Melayu dan
lain-lain etnik. Adat dan tradisi yang dijalankan hampir sama dengan orang
Melayu kecuali beberapa amalan yang hanya terdapat dalam tradisi masyarakat
Malabari iaitu adat menjemput pengantin lelaki, adat mencuci kaki dan majlis menyerahkan
anak perempuan atau rombongan menghantar pengantin. Majlis perkahwinan haruslah
diadakan dengan penuh adat istiadat bagi melambangkan keluhuran sebuah ikatan
pernikahan yang dijalinkan antara dua insan. Jadi segala proses pra-perkahwinan
akan dijalankan mengikut turutan sebelum majlis akad dan nikah diadakan. Antara
adat yang perlu dituruti ialah:
- Merisik
(Penna Nookua)
Merisik
adalah adat yang pertama sekali dilakukan oleh pihak lelaki bagi mengetahui
status gadis yang ingin dikahwini dan ia adalah satu keperluan sebelum upacara
peminangan dijalankan. Tiga orang wakil daripada pihak lelaki akan datang ke
rumah keluarga gadis berkenaan bagi tujuan merisik. Adat ini dilakukan secara
ringkas dan hanya disediakan jamuan ringan sahaja kepada para tetamu oleh
keluarga gadis tersebut. Kunjungan di ada kesinambungannya sekiranya pihak
perempuan bersetuju dengan jodoh yang ditetapkan maka rombongan meminang pula
akan menyusul selepas itu.
- Meminang
(Penna Kangan Pouva/Veedu Kangan Pouva)
Adat
meminang dilakukan setelah pihak perempuan bersetuju dan menerima perjodohan
yang telah diadakan ketika merisik. Ibubapa pihak lelaki akan datang ke rumah
keluarga perempuan bagi tujuan berkenalan dengan keluarga dan bakal menantu. Jika
peminangan ini dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, maka keluarga perempuan
iaitu ibubapa, datuk nenek atau adik-beradiknya akan berkunjung pula ke rumah
keluarga lelaki bagi meyampaikan keputusan peminangan. Namun, jika peminangan
ini ditolak, keputusan akan disampaikan melalui orang tengah sahaja.
- Bertunang
Adat
bertunang akan diadakan selepas kedua-dua buah keluarga mencapai persetujuan
mengenai perjodohan tersebut. Sebelum upacara pertunangan dijalankan, adik
lelaki pihak perempuan akan menjemput pihak lelaki bertandang ke rumah pihak
perempuan.
- Berinai
(Mailanji)
Adat
berinai pula akan diadakan bagi pengantin perempuan sebelum majlis perkahwinan
dilangsungkan. Si gadis akan dipakaikan inai dijari tangan dan kaki serta
ditemani oleh rakan-rakan pada malam sebelum majlis perkahwinan. Majlis ini
diadakan di rumah pengantin perempuan dan diserikan lagi dengan acara nyanyian.
- Adat
Mencuci Kaki
Adat
ini mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana ia hanya dilakukan oleh
masyarakat Malabari sahaja. Seperti juga adat bertunang, pengantin lelaki akan
dijemput oleh adik lelaki pengantin perempuan untuk datang ke rumah. Upacara
mencuci kaki akan dijalankan sebelum pengantin lelaki masuk ke dalam rumah pengantin
perempuan. Air yang diisikan ke dalam kendi akan dicurahkan ke kaki pengantin
lelaki dan pengantin lelaki akan memasukkan cincin ke dalam kendi sebagai
hadiah kepada adik lelaki pengantin perempuan. Cincin itu akan diambil oleh
adik lelaki pengantin perempuan dan upacara perkahwinan akan dijalankan selepas
itu.
- Majlis
Nikah
Majlis
perkahwinan masyarakat Malabari juga disambut meriah seperti mana masyarakat
Melayu. Kaum Malabari akan meraikan pengantin lelaki yang datang ke rumah
pengantin perempuan dengan mengadakan adat mencuci kaki terlebih dahulu sebelum
dibenarkan masuk ke dalam rumah. Majlis akad nikah kemudian dijalankan mengikut
syariat Islam dengan dikendalikan oleh jurunikah. Namun, keunikan pakaian
pengantin lelaki ialah pemakaian sapu tangan di kepala. Mas kahwin dan hantaran
disediakan seperti biasa iaitu cincin, gelang atau rantai. Pengantin akan
diraikan dengan meriah selepas diijabkabulkan.
- Majlis
Menyerahkan Anak Perempuan
Amalan
ini biasa dilakukan dalam masyarakat Malabari bagi menghantar pengantin
perempuan ke rumah pengantin lelaki. Biasanya kakak atau adik perempuan
pengantin lelaki bersama makcik dan saudara yang lebih tua akan akan pergi
menjemput pengantin perempuan. Si suami
akan menyediakan pakaian selengkapnya kepada pengantin perempuan kerana
pengantin tidak boleh memakai pakaian yang disediakan oleh ibubapanya.
Pengantin perempuan hanya boleh memakai pakaian yang disediakan oleh suaminya
sahaja ketika keluar dari rumahnya. Oleh itu si suami mestilah menyediakan
pakaian lengkap untuk kegunaan isterinya selama tiga atau tujuh hari.
Pengantin
perempuan akan diserahkan kepada wakil ibu mertua sama ada amayi (makcik
sebelah bapa pengantin lelaki) atau nenek pengantin lelaki oleh ibu atau nenek
pengantin perempuan untuk disayangi, dijaga dan diberi tunjuk ajar apa yang
kurang. Sanak saudara pengantin perempuan yang menghantar rombongan akan
diraikan dengan meriah oleh pihak pengantin lelaki. Mereka akan disambut dengan
nyanyian dan akan berbalas nyanyian dengan wakil dari rumah pengantin
perempuan. kemudian semua tetamu yang hadir akan dijamu dengan jamuan makan
tengahari.
- Majlis
Bertandang
Pengantin
perempuan dan suaminya akan dibawa pulang ke rumah keluarga pihak perempuan
pada hari ketiga atau ketujuh oleh abang, adik lelaki atau sepupu pengantin.
Pasangan ini akan tinggal disana selama beberapa hari bertujuan bertandang ke
rumah keluarga pengantin perempuan. Adat ini diamalkan bagi mengeratkan lagi
hubungan silaturrahim antara pasangan pengantin dengan ahli keluarga baru. Majlis
ini dikenali sebagai “Theatem” dan keluarga pengantin lelaki akan mengirim buah
tangan seperti sireh dan kuih muih kepada besannya. Majlis ini akan dimeriahkan
lagi oleh ahli keluarga dan saudara-mara pengantin perempuan. Setelah itu
pasangan pengantin ini akan pulang semula ke rumah pengantin lelaki.
Adat
Menyambut Kelahiran
Masyarakat Malabari memang terkenal
sebagai kaum yang mempunyai pelbagai adat dan budaya yang diwarisi sejak zaman
berzaman. Bagi masyarakat Malabari, kelahiran bayi adalah sesuatu yang
dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang sudah berkahwin. Oleh itu, mereka
akan mengadakan suatu majlis yang dinamakan majlis lengggang perut sebagai satu
majlis kesyukuran. Ianya akan diadakan di rumah suami apabila si isteri genab
mengandung tujuh bulan. Si isteri mestilah memakai pakaian serba putih dan
mengambil peluang ini untuk meminta maaf atas segala kesalahan/kekurangan
terhadap suami, mertua dan semua kaum keluarga kerana selepas itu dia akan
pulang ke rumah ibubapanya.
Majlis ini akan dihadiri oleh keluarga suami,
isteri dan jiran tertangga serta keluarga perempuan datang dengan membawa buah
tangan berupa sireh pinang dan makanan. Keluarga suami akan membekalkan sedikit
wang sebagai keperluan bersalin kelak dan setelah itu pihak lelaki akan
membalas juadah yang sama dibawa oleh pihak perempuan. setelah genab sembilan
bulan, si suami dan keluarga akan melawat si isteri dengan membawa buah tangan
seperti makanan, pakaian bayi serta wang sebanyak dua kali ganda jumlah yang
telah diberikan sebelumnya.
Selepas kelahiran bayi, iaitu pada
hari ke-7 biasanya akan diadakan majlis akikah atau juga dikenali sebagai
majlis mencukur kepala bayi yang baru lahir tersebut. Rambut bayi itu akan
dicukur dan kepalanya akan disapukan dengan susu ibu serta diberi nama pada
hari ke-7 kelahiran. Rambut tersebut ditimbang dan dinilaikan dengan harga emas
semasa kemudiannya nilai wang tersebut akan disedekahkan kepada orang miskin.
Majlis ini akan dibuat oleh keluarga si suami.
Setelah
itu akan diadakan pula majlis lepas hari atau juga biasa dipanggil lepas
pantang. Biasanya dilakukan pada hari ke-38 bagi bayi lelaki dan hari ke-40
bagi bayi perempuan beserta majlis mendodoi anak. Nyanyian akan diadakan oleh
keluarga si suami yang datang ke rumah besan dengan persediaan yang perlu. Ibu
dan anak yang habis pantang akan dimandikan dengan air minyak attar. Mereka
akan dipakaikan dengan pakaian baru yang disediakan oleh si suami dan
kemudiannya akan dihidangkan dengan kelapa bersama gula merah.
Masakan
Tradisional Masyarakat Malabari
Masyarakat Malabari
merupakan etnik yang sangat menyanjung budaya dan warisan peninggalan nenek
moyang mereka. Oleh yang demikian, pelbagai aspek budaya dan adat resam
turun-temurun masih lagi diamalkan sehingga hari ini tidak hanya bagi golongan
tua bahkan juga generasi muda. Antara aspek yang melambangkan tradisi dan jati
diri masyarakat Malabari ialah warisan masakan tradisional mereka yang masih
mengekalkan ciri-ciri keaslian masakan tersebut.
Bagi
masyarakat Malabari, masakan tradisi merupakan suatu perkara yang harus
dititikberatkan dan dipelihara warisannya terutamanya untuk diperturunkan
kepada generasi muda supaya ciri-ciri budaya sesuatu kaum itu tidak luput
ditelan zaman. Tambahan pula masyarakat ini telah lama bertapak di bumi
Malaysia yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum yang berpotensi mempengaruhi
ciri-ciri budaya etnik lain. Oleh sebab itu, setiap generasi masyarakat
Malabari haruslah menguasai resepi masakan tradisi mereka antaranya ialah
patri, velcena patri, puttu, kari kacang kuda dan banyak lagi. Kebanyakkan
juadah masyarakat Malabari diperbuat daripada tepung beras dan dimasak
menggunakan kaedah tradisional iaitu kayu api dijadikan bahan bakar utama bagi
tujuan menaikkan lagi keharuman masakan tersebut.
Masakan
Tradisional Masyarakat Malabari di Renggam, Kluang, Johor.
- Patri
Masakan
ini biasanya dihidangkan kepada tetamu ketika majlis perkahwinan. Juadah ini sangat
mudah disediakan iaitu dengan menyediakan segenggam tepung beras, secubit garam
dan secawan air. Kesemua bahan tersebut
digaul rata, diadun sehingga menjadi doh dan ditebarkan lalu dimasak tanpa
minyak. Hidangan ini sangat sesuai disajikan bersama kari daging atau kari
ayam.
- Velcena
Pacri
Bahan-bahan
yang diperlukan bagi meyediakan makanan ini ialah bawang merah yang dihiris
nipis, halba, kelapa parut, tepung beras, secawan air dan secubit garam.
Bahan-bahan tadi kemudiannya digaul dan diuli seterusnya digoreng.
- Puttu
Bagi
menyediakan hidangan ini, ramuan-ramuan yang diperlukan ialah seperti tepung beras,
kelapa parut, air, gula dan buluh. Bahan-bahan tadi diuli dengan kelapa yang
telah dicampur dengan gula. Kemudiannya adunan tersebut dimasukkan ke dalam
bekas buluh yang dibalut dengan kain. Buluh ini dimasak diatas air yang
mendidih. Hidangan ini sangat enak dihidangkan bersama pisang dan gula.
- Kari
Kacang Kuda
Bahan-bahan
yang diperlukan bagi menyediakan resepi ini ialah kentang, rempah kari, daun
kari, halia yang dihiris, bawang, cili kering, halba, kacang tanah, garam dan
buah pelaga. Ramuan seperti bawang, halia, daun kari, cili kering, halba dan
pelage ditumis bersama. Kemudian dimasukkan rempah kari dan ditambah air,
kentang dan akhir sekali dimasukkan kacang tanah ke dalam ramuan tadi lalu
dikacau sehingga masak dan dihidangkan.
- Vella
Apam
Bagi
menyediakan juadah ini, ramuan yang diperlukan ialah tepung beras, kelapa,
garam dan air digaul dan adunan ini diuli hingga sebati. Kemudiannya digoreng.
Sajian ini sesuai dihidangkan bersama kari ikan.
- Nayee
Apam
Antara
bahan-bahan yang diperlukan bagi membuat makanan ini ialah tepung beras, gula
merah, air, gula pasir dan jintan. Kesemua bahan-bahan akan diuli bersama.
- Puu
Vade
Penyediaan
Puu Vade memerlukan bahan-bahan seperti tepung beras, gula merah, kelapa parut,
gula, garam dan daun pisang. Makanan ini mempunyai bahagian kulit luarnya dan
ramuan yang diperlukan bagi membuat bahagian ini ialah tepung, air dan garam
digaul sehingga rata. Bagi membuat intinya pula, kelapa parut mestilah digaul
bersama gula merah sehingga sebati. Kemudian, dengan menggunakan daun pisang,
inti dimasukkan ke dalam adunan tepung dan dibungkus seperti lepat.
- Matram
Kari
Untuk
menyediakan hidangan ini, kelapa parut, gula pasir, gula merah dan garam akan
di masak diatas belanga. Kemudian adunan ini digentel-gentel. Bagi membuat
kuahnya pula, memerlukan gula merah, gula pasir, garam, santan dan tepung beras
dicampurkan bersama dan digaul sehingga sebati.
- Andy
Putte
Resepi
masakan ini memerlukan bahan-bahan seperti kacang tanah, kacanag gajus, jintan,
gula Melaka yang ditumbuk dengan menggunakan ‘antan’ (batu lesung besar)
sehingga hancur. Adunan ini kemudiannya dikepal-kepal.
- Papadam
Papadam
merupakan resepi yang bukan sahaja terkenal dikalangan masyarakat Malabari
malahan juga dikalangan masyarakat Melayu yang meminati makanan ini. Untuk
menyediakannya, bahan-bahan yang diperlukan ialah tepung beras, minyak, tepung
kacang dal, jintan, air, dua sudu teh soda dan sedikt minyak untuk menggoreng.
Kesemua bahan tadi dicampurkan dan diadun sehingga sebati lalu digelek sehingga
nipis dan digoreng.
- Chakara
Chora (nasi manis)
Masyarakat
Malabari akan meraikan hari nisfusyaaban dengan menyediakan hidangan istimewa
yang dinamakan chakara chora atau nasi manis sebagai satu hidangan wajib bagi
setiap rumah. Antara bahan yang diperlukan bagi menyediakan sajian ini ialah
beras india, gula melaka, kayu manis, kelapa dan gajus. Kesemua bahan tadi
dicampurkan dengan beras dan ditanak diatas api sehingga masak.
- Cheera
Kanyi
Bagi
menyediakan juadah berbuka puasa di bulan Ramadhan, hidangan ini merupakan
hidangan wajib dalam setiap keluarga masyarakat Malabari. Makanan ini enak dan
disajikan bersama lauk kuttan dan toillee kelapa. Ramuan yang perlu disediakan
ialah beras india, air secukupnya, serbuk kunyit, bawang besar, halia dan
garam. Bahan-bahan seperti bawang, serbuk kunyit dan halia hendaklah digoreng
sehingga garing. Kemudiannya ditambah dengan air. Setelah sebati, masukkan
garam secukup rasa. Akir sekali beras dimasukkan dan tanak nasi sehingga masak.
- Kuttan
(keladi)
Masyarakat
Malabari juga menggemari keladi atau juga dikenali sebagai kuttan. Untuk
memasak sajian ini memerlukan sayur keladi, garam, kelapa, jintan, bawang
putih, bawang merah, kunyit, cili kering dan minyak. Bahan-bahan seperti bawang
putih, jintan, bawang merah, kunyit, cili kering ditumis sehingga naik bau.
Kemudian santan dicampurkan bersama garam. Akhir sekali masukkan keladi dan
masak sehingga keladi empuk.
- Toillee
Kelapa
Bahan-bahan
yang diperlukan untuk menyediakan masakan ini ialah ikan bilis, cili kering,
bawang kecil, halia dan asam jawa. Kesemua bahan tadi digiling sehingga lumat.
Makanan ini dimakan seperti sambal belacan.
Penutup
Masyarakat
Malabari merupakan satu masyarakat yang sangat mementingkan adat dan budaya
warisan masyarakat terdahulu. Oleh yang demikian, pelbagai usaha dilakukan oleh
masyarakat ini bagi memastikan kelangsungan adat dan tradisi mereka kekal
seiring arus permodenan masyarakat setempat. Adat budaya dan tradisi masyarakat
Malabari masih lagi diamalkan oleh kaumnya sehingga sekarang sungguhpun mereka
telah lama bermastautin di bumi Malaysia ini. Penghijrahan nenek moyang mereka
ke daerah Nusantara ini tidak bermakna adat resam dan amalan tradisi mereka
juga luput ditelan budaya setempat. Bagi mereka kesenian dan kebudayaan warisan
turun-temurun mestilah disanjung dan dikekalkan untuk tatapan generasi akan
datang. Bak kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri
sendiri’.
Rujukan
- Zurea
Fareenawaty Zulkifli, (2008). Laporan Sosio – Budaya: Kajian Penyelidikan
dan Pendokumentasian Masyarakat Malabari di Negeri Johor. Bahagian
Persuratan dan Sejarah, Yayasan Warisan Johor.
- Resepi
Masakan Tradisional Masyarakat Malabari. Yayasan Warisan Johor.
- Pendokumentasian
Tradisi, Kesenian dan Kebudayaan Masyarakat Malabari. Yayasan Warisan
Johor.
Tuesday, 21 January 2014
AKU TERIMA NIKAHNYA BHGN. I
“AKU TERIMA NIKAHNYA…”
“Aku terima nikahnya Nur Aliya binti Ahmad dengan mas kahwinnya lapan
puluh ringgit tunai”.
Berderai air mata Aliya saat lafaz
itu terungkap dari bibir Muhammad Najmi bin Abdul Aziz. Lelaki yang kini telah
sah menjadi suaminya. Sungguh dia berasa sangat bahagia dan bersyukur ke hadrat
ilahi diatas kurniaan itu. Hanya dia yang merasai betapa gembiranya hati kerana
akhirnya dia bernikah juga. Memang inilah yang dikatakan jodoh, ia telah
ditetapkan Allah S.W.T. dan kita sebagai hambanya wajib mempercayai apa yang
dimaksudkan dengan qada’ dan qadar.
******
“Assalamualaikum,
hai termenung jauh nampaknya Kak Liya?”. Aisyah menegur kakaknya Aliya yang
kelihatan sedang mengelamun jauh di pangkin kayu di bawah pohon mempelam
bersebelahan rumah mereka.
“Waalaikumusalam,
Eh Aisyah!.. bila balik? Terkejut kakak”. Jawab Aliya setelah menyedari adik
bongsunya itu sudah berdiri disebelahnya.
“Amboi Kak
Liya ni berangan sampai tak sedar Aisyah kat sebelah ya?”. Sengaja Aisyah mahu
menyakat kakak kesayangannya itu. Dia lalu tersenyum setelah melihat wajah
kakaknya sudah kemerah-merahan.
“Eh Aisyah
ni..mana ada kakak berangan, Cuma terkenangkan hari pernikahan kakak je”. Jawab
Aliya cuba menyangkal dakwaan adiknya itu.
“Kenapa Kak
Liya? Ada yang tidah kena ke? Kakak tidak sukan Abang Najmi ke?” Tanya Aisyah
ingin tahu.
Setahu dia, kakaknya sudah tiga bulan
berkahwin dengan abang iparnya itu. Dan dari cerita kakaknya, mereka berdua
sudah lama saling mengenali sejak tahun pertama kakaknya menjejakkan kaki ke
menara gading lagi. Mana mungkin kakaknya menyesali perkahwinan mereka kerana
kedua-duanya kelihatan bahagia bersama.
“Eh? kakak
tentulah sayangkan Abang Najmi.. dia kan suami kakak”. Balas Aliya penuh yakin.
“Sudah lah tu.. jom kita masuk, hari
pun dah nak maghrib ni”. Aliya mengajak adiknya masuk ke dalam rumah.
“ Baiklah
Kak Liya” Jawab Aisyah patuh.
Mereka berdua berjalan beriringan
untuk masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Aliya tidak mahu memanjangkan persoalan
tadi kerana tabir petang sudah hampir melabuhkan tirainya. Dia juga faham
keadaan adiknya yang baru pulang dari sekolah setelah mengikuti aktiviti
kokurikulum. Namun dalam hatinya, dia masih mengingati peristiwa itu dan tiak
mungkin ianya dapat dilupakan buat selama-lamanya.
******
Malam itu, setelah selesai solat
Isyak bersama emak dan adiknya Aisyah mereka berbual-bual bersama sambil
menonton televisyen. Mak Teh, tiba-tiba bertanya kepada Aliya tentang
kandungannya.
“Liya, bagaimana dengan kandungan
kamu itu, mak tengok kamu seolah-olah tidak bermaya sahaja?”. Mak Teh risau
melihat keadaan anak perempuan keduanya itu.
Dia Cuma ada tiga orang anak sahaja.
Yang sulung lelaki, bernama Muhammad Yazid, sudah berkahwin dan kini menetap di
Sarawak kerana bertugas sebagai seorang tentera. Yang kedua itulah Nur Aliya,
baru tiga bulan berkahwin dan kini sedang menghamilkan anak pertama. Dan yang
bongsu adalah Nur Aisyah, pelajar tingkatan lima yang akan mengambil
peperiksaan SPM pada hujung tahun ini.
“Alhamdulillah.. Liya sihat sahaja, Mak
janganlah risau ya”.
Balas Liya lembut. Dia tahu ibunya begitu
risaukan kesihatan dirinya tambahan lagi ketika berbadan dua. Dia sudah
mengalami alahan sejak kandungannya berusia satu bulan lagi. Begitulah sikap
Mak Teh. Dia sangat mementingkan anak-anaknya terutamanya setelah kematian
suaminya ketika mereka masih kecil lagi.
“Eloklah kalau macam itu.. lega hati Mak
mendengarnya.. oh ya, bila Najmi tamat bertugas di luar daerah?”. Mak Teh lega
mendengar jawapan Aliya itu.
Dia kemudian bertanya pula keadaan
menantunya yang bertugas di luar daerah dan kerana itulah Aliya dihantar pulang
ke kampung buat sementara waktu. Dia sangat bersyukur kerana Aliya berkahwin
dengan Najmi, seorang anak muda yang mempunyai pengetahuan agama yang baik,
penyayang dan bersopan santun orangnya. Sekurang-kurangnya dia dapat menutup
mata dengan aman kerana yakin Najmi dapat membimbing puterinya ke jalan yang
diredhai Allah. Begitu jugalah yang diharapkan kepada anak bongsunya Aisyah,
agar mendapat seorang suami yang beriman dan boleh membimbing ke arah kebaikan.
“InsyaAllah Mak, Abang Najmi akan
pulang dua hari lagi”.
Aliya menjawab pertanyaan ibunya itu
dengan senyuman. Dalam hatinya, dia sangat merindui suaminya itu walaupun baru
lima hari tidak bersua muka. Najmi hanya menjalankan tugas di luar daerah
selama seminggu sahaja. Namun bagi Aliya seminggu itu dirasakan seperti setahun
lamanya dan dia tidak sanggup berjauhan lama-lama dengan suami tercinta.
“Marilah kita masuk tidur, sudah
lewat malam ni”. Kata Mak Teh kepada kedua-dua puterinya sambil melirikkan
matanya ke arah jam yang tergantung di dinding yang jarumnya sudah menunjukkan
ke angka 12.
“Baiklah Mak.. jom kakak kita masuk
tidur”. Tingkah Aisyah menuruti perintah ibunya sambil menarik tangan kakaknya
kearah bilik.
Aliya hanya menuruti adiknya dan
mereka berdua kemudian bersalam dengan si ibu sebelum melangkah masuk ke bilik
tidur. Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka termasuk abang sulung mereka untuk
bersalam dengan ibu dan arwah ayah mereka sejak kecil lagi sebelum tidur dan
ketika hendak pergi ke mana sahaja. Itulah antara didikan yang telah diterapkan
oleh Mak Teh dan arwah suaminya bagi mendidik anak-anak mereka menjadi insan
yang berbudi pekerti.
******
Azan subuh sayup-sayup kedengaran
dari corong pembesar suara di surau berdekatan. Aliya sudah pun terjaga
daripada tidurnya. Dia terasa begitu segar sekali pagi itu tidak seperti
hari-hari sebelumnya, dia sering terasa lesu setelah bangun tidur. Dia tidak
tahu mengapa pagi itu hatinya berasa tenang sekali ketika mendengar alunan azan
yang begitu gemersik. Aliya menutup mata rapat-rapat lalu hatinya berbisik
memuji kebesaran Allah S.W.T. dan dia bersyukur kerana masih diberi kesempatan
untuk melihat keindahan alam ini.
“Aisyah, bangun sayang!.. dah subuh
ni”. Aliya mengejutkan adik kesayangannya yang masih berselimut diulit mimpi.
Nyenyak sungguh lena Aisyah hingga tidak sedar subuh sudah bertandang.
“Ala.. kejap la Kak Liya”. Rengek
Aisyah manja.
“Eh?.. bangun-bangun, nanti terlewat
pula solat subuhnya”. Aisyah bingkas bangun dari tidurnya. Dia kemudian
tersenyum melihat kakaknya mengemas katil mereka.
“Apa yang Aisyah tersengeh-sengeh
lagi tu? Cepat pergi ambil wuduk!.. Kakak dah siap ni.. Mak pun dah tunggu kita
tu!”. Arah Aliya menyuruh adiknya segera bergegas ke bilik air untuk berwuduk.
Sudah menjadi kebiasaan kepada keluarga mereka untuk bersolat berjemaah kecuali
jika ada kekangan.
“ Baiklah Kak Liya!.. Hehehe!”. Jawab
Aisyah menahan tawa. Geli hatinya melihat kakaknya begitu bersungguh-sungguh
mengarahkannya segera berwuduk. Memang itulah sifat kakaknya, dia sentiasa
tegas kepada adiknya terutama dalam hal menjaga solat.
******
Pagi yang hening dengan kicauan
burung yang berterbangan mencari rezeki begitu mendamaikan hati sesiapa sahaja
yang memandangnya. Suasana kampung yang begitu tenang dan nyaman dengan pemandangan
sawah pagi yang terbentang luas begitu mengasyikkan. Deruan air sungai yang
mengalir tenang dihujung kampung yang ditabiri bukit-bukau yang menghijau,
diserikan lagi dengan lambaian pepohon kelapa yang meliuk-lentuk di sepanjang
jalan kampung menyusur sawah. Begitu damainya hati, tenangnya sanubari dengan
keindahan langit Kedah di pagi hari dengan suasana segar dan aslinya kehidupan
ini. Itulah yang dirasai Aliya setiap kali pulang ke kampung halamannya di
utara tanah air.
Pagi itu dia
berjalan-jalan bersendirian setelah bersolat subuh dan membersihkan diri
terlebih dahulu. Sudah menjadi rutin Aliya sejak zaman kanak-kanak lagi untuk
bersiar-siar di tebing sawah sambil menghirup udara pagi yang segar ketika
mengikut arwah ayahnya ke sawah. Namun semua itu hanya tinggal kenangan yang
masih segar berlegar di ruang fikirannya. Masih segar dalam ingatannya ketika
dia bersama-sama dengan arwah ayahnya, abangnya dan adiknya menangkap ikan di
sawah menggunakan serkap ikan yang diperbuat daripada buluh. Mereka begitu gembira
sekali ketika itu kerana berjaya menangkap beberapa ekor ikan puyu, sepat dan
haruan. Ibunya pula ditugaskan untuk memasak gulai lemak ikan puyu manakala
yang selebihnya digoreng sahaja. Kecur liurnya ketika mengenangkan gulai lemak
yang menjadi kegemaran mereka adik-beradik itu. Aliya tersenyum sendirian saat
terkenangkan kisah silamnya.
Aliya duduk
di pangkin kayu buatan abang sulungnya di bawah pohon mempelam berdekatan rumah
setelah penat berjalan-jalan di sekitar kampung sebentar tadi. Dia menarik
nafas lega setelah dapat berehat di bawah pohon mempelam itu. Matanya melirik
ke arah suara yang kedengaran seperti orang bersembang di hadapan rumah.
Kelihatan ibunya sedang berbual-bual dengan jiran mereka, Mak Cik zainab yang
merupakan jiran sebelah rumah yang sangat rapat dengan keluarga Aliya. Dia
tersenyum sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah Mak Cik Zainab. Tanpa
disedari adiknya Aisyah sudah pun duduk di sebelahnya lalu mencuit pinggangnya.
Terkejut Aliya bukan kepalang dengan tindakan adiknya itu. Memang sudah menjadi
tabiat Aisyah yang suka benar mengusik kakaknya jika ada peluang.
“Allahu
Akbar!”.. latah Aliya dek kerana kegelian dicuit adiknya. Dia sungguh tidak
menyangka akan disakat lagi setelah dikenakan adiknya petang semalam.
“Hahahahaha!..
Aisyah ketawa geli hati melihat telatah kakaknya yang terkejut beruk itu. Kali
ini dia berjaya lagi mengenakan kakaknya itu.
“Ishh Aisyah
ni.. tak kasihankan kakak ke? Kalau anak dalam perut ni terkejut juga macam
mana? Gerutu Aliya cuba menakut-nakutkan adiknya pula.
“Ala Kak
Liya.. Aisyah gurau saja, I’m sorry madam!”.
Balas Aisyah menyesali perbuatannya tadi. Sungguh dia lupa kakaknya itu
sedang berbadan dua.
“It’s okay my dear! Lain kali jangan buat lagi tau!”. Kasihan
pula Aliya melihat wajah adiknya yang diselubungi rasa bersalah itu. Niatnya
hanya ingin bergurau kembali dengan adiknya itu.
“Tak ada
apalah, kakak gurau je tadi tu”. Tambah Aliya membetulkan keadaan.
“Ala.. kakak
ni!”. Tingkah Aisyah tersipu malu kerana dirinya pula yang terkena.
Aliya ketawa melihat tetah adiknya itu. Memang
mereka rapat sejak kecil lagi walaupun Aliya lapan tahun lebih tua daripada
Aisyah. Disebabkan hal itu jugalah mereka berdua sangat akrab kerana Aliya
sangat menginginkan adik perempuan sebagai temannya.
“Ada apa pagi-pagi lagi sudah
menyakat kakak ni? Tanya Aliya hairan dengan adiknya yang kelihatan seperti
ingin bertanyakan sesuatu kepadanya.
“Hehehe, tak ada apa-apa. Saja nak
berbual-bual dengan kakak”. Balas Aisyah cuba menyembunyikan sesuatu.
“Aisyah, cakap saja lah.. Kakak tahu
mesti ada sesuatu yang Aisyah nak Tanya pada kakak kan? Duga Aliya.
“Err.. Kalau Aisyah Tanya sikit,
kakak jangan marah ya?” Aisyah memulakan bicaranya.
“Ok! Kakak janji tak marah. Tanya
lah, apa dia?” Balas Aliya ingin tahu.
“Sebenarnya apa yang kakak menungkan
petang semalam itu? Macam ada hal serius saja?” Tanya Aisyah ragu-ragu.
“Owh.. tak ada apa-apa, kakak Cuma
terkenangkan hari perkahwinan kakak dengan Abang Najmi. Insan yang tak pernah
kakak dambakan untuk menjadi suami kakak”. Jawab Aliya sambil membuang pandang.
“Jadi, apa maksud kakak sebenanya?
Boleh kakak ceritakan?”. Aisyah mulai berminat ingin tahu kisah cinta kakaknya
itu.
“Betul Aisyah nak tahu?” Duga Aliya
terhadap kesungguhan adiknya itu.
“Ya lah!” Jawab Aisyah ringkas.
Aliya termenung sejenak. Dia cuba
mengingati kembali detik perkenalannya dengan Najmi dan kisah persahabatan
mereka sepanjang bergelar mahasiswa. Dengan tenang Aliya memulakan bicaranya
untuk menceritakan kisah perkenalan dengan suami tercinta kepada Aisyah.
******
Hari ini pertama Aliya mengikuti
Kursus Kepimpinan dan Ketahanan Diri anjuran Kelab Pembangunan Personaliti di kampusnya.
Kursus itu dijalankan selama dua minggu sempena cuti semester bertempat di Kem
Mega Crystal Kuala Selangor. Hati Aliya berbunga riang kerana dapat menyertai
kursus tersebut bersama dengan sahabat-sahabat baiknya. Ini bukan kali pertama
dia mengikuti kursus seperti itu kerana Aliya merupakan seorang gadis yang
lasak tetapi dia seakan-akan dapat merasakan suatu kelainan dalam kursus kali
ini. Tambahan pula dia bakal merasai sendiri latihan ala-ala tentera yang
menjadi salah satu modul kursus. Mungkin itulah yang membuatkan Aliya begitu
teruja sekali dan tidak sabar untuk mengharunginya.
“Assalamualaikum! Hai Aliya!” Sapa
Kamilah dari belakang.
“Waalaikumusalam waramatullahi
wabarakatuh!” Jawab Aliya sambil tersenyum.
“Yang lain-lain belum sampai lagi ke?
Kita dah nak bertolak dalam masa sepuluh minit lagi ni.” Tambah Aliya sambil
matanya meliar memerhatikan sekeliling kalau-kalau terlihat kelibat dua orang
lagi rakannya iaitu Durrah dan Humaira.
“Alahai Liya, kau ni macam tak tahu
saja, Du’a dan Mai lambat lagi la tu”.
Balas Kamilah sambil tersenyum. Aliya turut sama tersenyum kerana mengerti
maksud Kamilah. Mereka sudah faham benar dengan perangai dua orang sahabat
mereka yang sering kali terlambat kalau hendak ke mana-mana.
Dari kejauhan kelihatan Durrah dan
Umaira yang sedang berlari-lari anak menuju kea rah Aliya dan Kamilah. Mujurlah
mereka berdua sempat tiba sebelum bas bertolak. Kelihatan kedua-duannya
termengah-mengah menahan penat akibat berlari tadi.
“Maaf Liya, Mila kami lambat sikit”.
Sapa Durrah sambil bersalaman dengan kedua-dua rakannnya itu diikuti oleh
Umaira. Sambil tersenyum dia memohon maaf atas kelewatan mereka.
“Tak apalah, nasib baik sempat kalau
tidak mesti kamu berdua dah ditinggalkan bas”. Jawab Kamilah sambil menepuk bahu
Durrah.
“Semua pelajar diminta berkumpul di
hapan saya! Saya akan periksa kehadiran anda semua”. Kedengaran suara presiden
kelab sedang menjerit meminta para ahli kelab untuk berkumpul di hapadannya.
Setelah memeriksa kehadiran, mereka semua dibenarkan menaiki bas yang telah
lama menunggu. Kesemuanya ada empat buah bas, dua buah untuk pelajar lelaki dan
dua buah untuk pelajar perempuan.
“Aduh! Sakitnya. Aliya menjerit kecil
apabila terasa bahunya dilanggar orang. Dia berpaling dan tergamam apabila melihat
seorang pemuda yang melanggarnya itu sedang mengambil begnya yang tercampak ke
tanah.
“Maafkan saya, saya tak sengaja”.
Aliya hanya membisu dan lelaki tadi terus bergegas menaiki bas dihadapannya
tanpa sempat Aliya berkata apa-apa.
Akan Bersambung…….
Subscribe to:
Posts (Atom)