Pages

Tuesday 8 April 2014

Fenomena Musim Bunga di Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Entri saya pada kali berkisarkan tentang fenomena musim bunga yang melanda Malaysia sejak penghujung Mac 2014 hingga sekarang. Apa yang uniknya dengan pemandangan sekitar kita sekarang ini adalah keindahan panorama pohon rendang yang berbunga lebat yang boleh dilihat dengan jelas di negeri-negeri di utara semenanjung juga di bahagian lain seperti di selatan tanah air. 

Pemandangan ini mampu memukau setiap mata yang memandangnya dek kerana cantiknya bunga-bunga yang berkembang mekar dengan pelbagai warna lembut seperti pink, putih dan kuning. Seolah-olah kita berada di Jepun atau Korea sambil menikmati kembang mekar bunga Sakura. 

Namun yang ada di Malaysia ini bukanlah pohon sakura tetapi sejenis tumbuhan asli yang diimport dari negara-negara Amerika Latin. Tumbuhan ini merupakan tumbuhan asli yang banyak terdapat di negara seperti Brazil, Argentina, Paraguay, Bolivia, Peru, Trinidad and Tobago, Venezuela, Mexico, Equador, Costa Rica dan kebanyakan negara Amerika Latin yang lain. 

Pohon asli ini dikenali sebagai Tabebuia yang merupakan tumbuhan berbunga daripada keluarga Bignoniaceae. kebiasaannya tumbuhan ini merupakan sejenis tumbuhan yang tinggi dan rendang, namun ada juga sesetengahnya yang agak renek. Ada juga spesis tumbuhan ini yang dijadikan kayu tetapi kebanyakannya ia ditanam sebagai tumbuhan bunga hiasan. 

Tabebuia merupakan tumbuhan 'American tropics' dan 'subtropics' dari Mexico dan Caribbean ke Argentina. Tumbuhan Tabebuia ini dianggarkan mempunyai antara 67 jenis yang boleh tumbuh subur di tanah yang beriklim tropika yang kering dan panas sepanjang tahun. Tidak hairanlah jika tumbuhan ini boleh hidup subur di negara Malaysia. 

Antara jenis tumbuhan ini ialah Tabebuia Impetiginosa yang merupakan tumbuhan asli Bignoniaceae America yang boleh ditemui dari utara Mexico Selatan hingga ke utara Argentina. tumbuhan yang mengeluarkan bunga berwarna pink ini juga dikenali sebagai Pink Ipe atau Pink Lapacho adalah tumbuhan yang biasa dilihat di kawasan timur laut Argentina dan di tenggara Bolivia. ia juga mempunyai nama tempatan seperti Ipe-cavata, Ipe-comum, Ipe-reto, Ipe-rosa dan Lapacho negro. 

Antara jenis lain bagi tumbuhan ini ialah Tabebuia Aurea, merupakan tumbuhan asli di Ameria Selatan seperti di Suriname, Brazil, timur Bolivia, Peru, Paraguay dan utara Argentina. Ia merupakan tumbuhan kering yang berbunga dan mampu tumbuh hingga mencecah ketinggian 8 meter. Pohon ini mengeluarkan bunga berwarna kuning cerah yang mempunyai diameter sehingga 6.5 cm. 

Ada juga tumbuhan Tabebuia yang mengeluarkan bunga berwarna putih yang dikenali sebagai Tabebuia Roseo Alba atau White Ipe juga mempunyai nama tempatan seperti Ipe-branco dan Lapacho blanco. Ia merupakan tumbuhan asli di Cerrado dan Pantanal vegetation di Brazil serta di Argentina dan Paraguay. Namun spesis ini agak kurang popular berbanding Tabebuia yang berbunga pink dan kuning. 

Jenis lain bagi tumbuhan Tabebuia ini ialah Tabebuia Serratifolia yang biasanya dikenali sebagai Yellow Lapacho, Yellow Poui, Yellow Ipe, atau Ipe-amarelo. Tumbuhan asli jenis ini banyak terdapat di kawasan Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Ia banyak ditanam di Cerrado vegetation di Brazil hingga ke French Guiana, Bolivia, Paraguay dan utara Argentina. Ia juga merupakan pohon hutan tropika yang paling besar dan paling kuat yang mampu membesar sehingga mencecah ketinggian 46 meter dan berdiameter antara 1.2-2.1 meter. Pohon ini juga dikormesialkan dan dikenali sebagai 'Ironwood' kerana ketahanannya. 

Begitulah sedikit sebanyak informasi berkenaan sejenis tumbuhan beriklim tropika yang mengeluarkan bunga berwarna-warni iaitu Tabebuia. tumbuhan asli yang berasal dari kawasan Amerika Latin yang kini banyak didapati di Malaysia juga kerana ia mampu hidup di kawasan yang beriklim tropika yang kering dan panas. keunikan dan keindahan tumbuhan ini sangat menarik minat sesiapa yang memandangnya. Hinggakan ia dijadikan pokok kebangsaan bagi negara Brazil. 

Sumber: Wikipedia, Wikimedia, Portal Rasmi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).