Pages

Wednesday 12 March 2014

KESENIAN DAN KEBUDAYAAN MASYARAKAT MUSLIM MALABARI

Kesenian dan kebudayaan Masyarakat Malabari
Pengenalan
            Masyarakat Malabari adalah salah satu daripada etnik yang terdapat di negeri Johor selain daripada masyarakat Jawa, Bugis, Minangkabau dan Banjar. Adat budaya dan kesenian masyarakat Malabari mempunyai keunikannya yang tersendiri yang telah diwarisi sejak turun-temurun lagi. Kaum Malabar telah datang ke negeri Johor atas sebab hubungan perdagangan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah zaman Kepesatan industri getah di Tanah Melayu pada ketika itu. Mereka berasal dari Kerala, India yang berhijrah ke Kepulauan Melayu melalui jalan laut sambil menyebarkan ajaran Islam di sini. Antara penempatan-penempatan awal masyarakat Malabari di Johor adalah seperti di Johor Bahru, Ulu Tiram, Masai dan Renggam. Masyarakat Malabari masih lagi mengamalkan dan mengekalkan adat, budaya dan tradisi warisan mereka meskipun setelah meninggalkan kampung halaman nenek moyang mereka.
            Masyarakat Malabari masih meneruskan pekerjaan tradisional seperti berniaga, bertani dan juga mengembala kambing, lembu dan kerbau di awal kedatangan mereka ke negeri Johor. Kaum wanita masyarakat ini juga memainkan peranan penting dalam mengekal dan mencorak kebudayaan mereka sebagai pendorong dalam keluarga bagi menempuh segala cabaran dan dugaan sepanjang penghijrahan mereka ke negeri Johor. Bahasa ibunda masyarakat Malabari adalah Bahasa Malayalam dan bahasa ini masih dikekalkan sebagai bahasa pengantar dan komunikasi dalam proses pembelajaran dan kehidupan seharian. Kaum Malabar adalah kaum yang sangat menitikberatkan kebudayaan dan adat resam tradisional mereka sungguhpun berada jauh dari penempatan asal mereka. Masyarakat ini juga dikenali sebagai masyarakat India Muslim di Malaysia.

Sosio – Budaya Masyarakat Malabari
            Projek pendokumentasian dan pemugaran masyarakat Malabari di negeri Johor sedikit sebanyak memberi informasi tentang kesenian dan kebudayaan mereka kepada masyarakat umum. Dengan ini, orang luar dapat mengenali dan memahami adat resam dan pantang larang yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Projek pendokumentasian budaya dan kesenian rakyat Johor telah diusahakan oleh Yayasan Warisan Johor dan kini adalah masa untuk mengenali kesenian dan kebudayaan Masyarakat Malabari dengan lebih mendalam lagi. Pendokumentasian budaya dan kesenian masyarakat ini merangkumi aspek sejarah, adat resam, pantang larang, kepercayaan, makanan, perkahwinan, kesenian tradisi, perubatan tradisional dan pelbagai aspek lain yang melambangkan budaya sesuatu kaum tersebut.
            Negeri Johor adalah sebuah negeri yang mempunyai taburan penduduk masyarakat Malabari yang tertinggi di Malaysia. Etnik Malabari ini bermukim di sekitar Renggam, Masai, Chaah dan Ulu Tiram. Masyarakat Malabari adalah suatu masyarakat yang mempunyai jati diri yang cukup kuat dan tinggi sifat kesantunannya serta patuh kepada adat resam, pantang larang dan juga berpegang kuat dengan ajaran agama Islam. Kaum Malabari juga sangat mementingkan pelajaran dan pendidikan anak-anak . ini dapat dibuktikan dengan wujudnya Madrasah sebagai tempat menimba ilmu terutamanya ilmu agama. Di negeri Johor sahaja telah terdapat sebanyak 28 buah madrasah yang dibangunkan atas daya usaha mereka sendiri sehingga ramai dikalangan mereka yang berjaya memegang jawatan penting dalam masyarakat sekaligus meningkatkan kredibiliti mereka dalam kehidupan bermasyarakat di sini.
            Masyarakat Malabari mempunyai adat resam dan pantang larang yang terlalu banyak yang harus mereka patuhi dan ikuti dalam kehidupan seharian. Antaranya, pantang larang ketika bersalin, penjagaan makan minum ketika berpantang selepas bersalin. Kaum wanita juga dilarang membunuh nyamuk ketika mengandung, begitu juga dengan semut dan sebagainya. Antara pantang larang lain yang masih diamalkan oleh masyarakat Malabari dalam kehidupan seharian adalah melarang anak-anak keluar rumah selepas waktu isya’.
            Apa yang menarik dalam masyarakat Malabari ini adalah anak mudanya yang masih lagi berpegang teguh dengan adat resam nenek moyang mereka dan masih mempraktikkannya lagi dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya seperti, jodoh anak-anak ditentukan oleh ibubapa dan keluarga tanpa sebarang bantahan daripada anak-anak itu sendiri dan mereka menurut sahaja kehendak orang tua masing-masing. Elemen kesenian juga merupakan elemen penting dalam mencorak kebudayaan masyarakat Malabari, antara permainan tradisional terkenal mereka ialah kolkali yang mengandungi unsure puji-pujian terhadap para wali dan anbia.

Amalan dan Adat Resam Masyarakat Malabari
            Masyarakat Malabari mempunyai suatu warisan budaya yang unik dan kelainan yang tersendiri yang diwarisi daripada masyarakat terdahulu. Antara beberapa adat dan amalan yang mempunyai keunikan yang berbeza daripada masyarakat Melayu adalah seperti upacara ketika baligh bagi seorang gadis, adat mencuci kaki bagi pengantin lelaki, Kompang/Kolkali dan lain-lain. Namun, mereka juga mengamalkan beberapa amalan yang sama seperti masyarakat Melayu antaranya ialah tradisi berkhatan, bertindik, zikir, merisik, meminang dan majlis nikah cuma mungkin cara pengamalannya sedikit berlainan daripada kaum Melayu. Adat-adat yang masih diamalkan oleh masyarakat Malabari adalah seperti berikut:
1.   Berkhatan
Adat berkhatan adalah adat yang sinonim dengan mayarakat Islam dan amalan ini dilakukan kepada kanak-kanak perempuan ketika masih kecil lagi. Manakala bagi kanak-kanak lelaki, majlis berkhatan akan diadakan ketika mencapai umur baligh. Orang yang akan melangsungkan upacara khatan dikenali sebagai Tok Mudim, namun dalam masyarakat Malabari, Tok Mudim lebih dikenali sebagai Vassan. Semua peralatan yang digunakan dalam majlis berkhatan akan disediakan oleh Vassan yang dibungkus dalam kain putih. Antara bahan yang diperlukan adalah ubat-ubatan seperti jantung pisang segar bersama tangkai yang digunakan untuk menghentikan pendarahan, pucuk pisang yang direbus dengan daun teh yang digunakan sebagai anti septik/pembalut. Minyak kelapa gorengan bawang merah pula digunakan sebagai ubat sapu setelah balutan daun pisang dibuka. Bahan-bahan lain yang diperlukan ialah batang pisang, pisang muda dan sirap.

  1. Bertindik
Amalan bertindik dilakukan kepada kanak-kanak perempuan sahaja. Adat ini dilakukan oleh Mak Bidan yang lebih dikenali sebagai Vassati. Peralatan dan bahan yang diperlukan ialah duri limau, kunyit basah, hati batang bawang putih dan subang. Manakala minyak bijan pula digunakan sebagai ubat sapu.

  1. Zikir
Bagi masyarakat Malabari, amalan berzikir telah dilakukan sejak turun-temurun lagi. Amalan ini dijalankan secara mingguan dan hanya golongan lelaki sahaja yang terlibat. Setiap kali mengadakan zikir mingguan ini, mereka akan menjemput tetamu tertentu bagi memeriahkan lagi  majlis tersebut. Acara berzikir ini akan diadakan di madrasah yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka. Para peserta yang menyertai majlis ini mestilah mengenakan pakaian serba putih iaitu kemeja, vesti, ikat kepala atau baju pagoda berlengan, kain pelikat berkotak yang berwarna lembut (kalli tunni), ikat kepala tuala ‘good morning’ putih.

  1. Baligh
Masyarakat Malabari mempunyai adat yang unik bagi meraikan kanak-kanak perempuan yang baru baligh. Kanak-kanak perempuan yang pertama kali datang haid akan didatangi oleh jiran-jiran yang membawa bersama buah tangan seperti telur,susu, kuih muih dan lain-lain. Kanak-kanak ini juga akan diberikan nasihat berkaitan dengan perubahan pada dirinya. Bagi kanak-kanak perempuan yang pertama kali datang haid, mereka akan diberi minum telur mentah bercampur minyak bijan selama 7-15 hari, kerana dipercayai dapat memberikan kekuatan pada pinggang dan tulang belakang. Mereka juga akan diberikan makanan berkhasiat yang biasanya dimasak dengan minyak sapi, herba-herba dan sup ayam atau daging.
            Kanak-kanak ini akan diasingkan di dalam sebuah bilik, mereka tidak dibenarkan keluar bilik kecuali ke tandas. Mereka juga tidak dibenarkan berbual dengan kaum lelaki termasuk ahli keluarga sendiri sehingga bersih daripada haid. Mereka akan diterangkan dengan adab-adab ketika uzur dan bagaimana hendak menjaga kebersihan diri. Satu upacara meraikan kanak-kanak perempuan tersebut akan diadakan selepas bersih daripada hadas biasanya pada hari ke-10. Hanya ahli keluarga dan jiran-jiran perempuan sahaja yang akan hadir dalam majlis tersebut. Kanak-kanak tersebut akan dilumurkan dengan kunyit yang tumbuk keseluruh tubuhnya manakala kepala pula akan disapu dengan minyak bijan. Saudara perempuan kanak-kanak tersebut iaitu nenek atau ibu saudara akan mengajarkan cara-cara mandi wajib. Sabun yang digunakan ketika mandi ialah bahan tradisional iaitu kacang hijau yang digiling bersama kulit pokok pulai dan beras manakala serbuk ‘siakkah’ digunakan sebagai syampu.
            Setelah itu, kanak-kanak tersebut akan di bawa ke sungai untuk dimandikan dengan ditemani oleh sanak saudara dan rakan-rakan. Sungai merupakan simbol kebersihan maka itulah sebabnya kanak-kanak tersebut di bawa ke sungai supaya memahami erti mandi dengan bersih. Kemudian, kanak-kanak tersebut akan dipakaikan dengan pakaian baru dan dipakaikan juga barang kemas untuknya. Wajah kanak-kanak ini akan ditutup sehingga ditunjukkan kepada saudara lelakinya sama ada abang atau adik lelakinya. Kanak-kanak perempuan tersebut akan disuruh melihat pohon kelapa yang sarat berbuah sebagai simbolik kepada kesuburan dan sentiasa berguna seperti pohon kelapa tersebut. Kanak-kanak tersebut kemudiannya dihidangkan dengan kelapa muda yang diracik berserta gula melaka sebagai manisan. Majlis doa selamat pula akan diadakan pada sebelah petang atau malam oleh keluarga kanak-kanak tersebut dan proses mencari jodoh akan dimulakan.

  1. Kompang/Kolkali
Bagi permainan kompang atau kolkali pula akan dipersembahkan oleh kumpulan kompang yang disertai seramai sepuluh orang peserta dengan seorang penyanyi. Kumpulam kompang ini akan mempersembahkan persembahan Kompang Adrah dan persembahan Kolkali. Antara alatan yang diperlukan ialah pakaian tradisional lengkap, kompang dan kayu kolkali.

Adat Perkahwinan Masyarakat Malabari
            Masyarakat Malabari juga mementingkan adat dan tradisi perkahwinan seperti mana masyarakat Melayu dan lain-lain etnik. Adat dan tradisi yang dijalankan hampir sama dengan orang Melayu kecuali beberapa amalan yang hanya terdapat dalam tradisi masyarakat Malabari iaitu adat menjemput pengantin lelaki, adat mencuci kaki dan majlis menyerahkan anak perempuan atau rombongan menghantar pengantin. Majlis perkahwinan haruslah diadakan dengan penuh adat istiadat bagi melambangkan keluhuran sebuah ikatan pernikahan yang dijalinkan antara dua insan. Jadi segala proses pra-perkahwinan akan dijalankan mengikut turutan sebelum majlis akad dan nikah diadakan. Antara adat yang perlu dituruti ialah:  
  1. Merisik (Penna Nookua)
Merisik adalah adat yang pertama sekali dilakukan oleh pihak lelaki bagi mengetahui status gadis yang ingin dikahwini dan ia adalah satu keperluan sebelum upacara peminangan dijalankan. Tiga orang wakil daripada pihak lelaki akan datang ke rumah keluarga gadis berkenaan bagi tujuan merisik. Adat ini dilakukan secara ringkas dan hanya disediakan jamuan ringan sahaja kepada para tetamu oleh keluarga gadis tersebut. Kunjungan di ada kesinambungannya sekiranya pihak perempuan bersetuju dengan jodoh yang ditetapkan maka rombongan meminang pula akan menyusul selepas itu.
  1. Meminang (Penna Kangan Pouva/Veedu Kangan Pouva)
Adat meminang dilakukan setelah pihak perempuan bersetuju dan menerima perjodohan yang telah diadakan ketika merisik. Ibubapa pihak lelaki akan datang ke rumah keluarga perempuan bagi tujuan berkenalan dengan keluarga dan bakal menantu. Jika peminangan ini dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, maka keluarga perempuan iaitu ibubapa, datuk nenek atau adik-beradiknya akan berkunjung pula ke rumah keluarga lelaki bagi meyampaikan keputusan peminangan. Namun, jika peminangan ini ditolak, keputusan akan disampaikan melalui orang tengah sahaja.

  1. Bertunang
Adat bertunang akan diadakan selepas kedua-dua buah keluarga mencapai persetujuan mengenai perjodohan tersebut. Sebelum upacara pertunangan dijalankan, adik lelaki pihak perempuan akan menjemput pihak lelaki bertandang ke rumah pihak perempuan.

  1. Berinai (Mailanji)
Adat berinai pula akan diadakan bagi pengantin perempuan sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan. Si gadis akan dipakaikan inai dijari tangan dan kaki serta ditemani oleh rakan-rakan pada malam sebelum majlis perkahwinan. Majlis ini diadakan di rumah pengantin perempuan dan diserikan lagi dengan acara nyanyian.

  1. Adat Mencuci Kaki
Adat ini mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana ia hanya dilakukan oleh masyarakat Malabari sahaja. Seperti juga adat bertunang, pengantin lelaki akan dijemput oleh adik lelaki pengantin perempuan untuk datang ke rumah. Upacara mencuci kaki akan dijalankan sebelum pengantin lelaki masuk ke dalam rumah pengantin perempuan. Air yang diisikan ke dalam kendi akan dicurahkan ke kaki pengantin lelaki dan pengantin lelaki akan memasukkan cincin ke dalam kendi sebagai hadiah kepada adik lelaki pengantin perempuan. Cincin itu akan diambil oleh adik lelaki pengantin perempuan dan upacara perkahwinan akan dijalankan selepas itu.

  1. Majlis Nikah
Majlis perkahwinan masyarakat Malabari juga disambut meriah seperti mana masyarakat Melayu. Kaum Malabari akan meraikan pengantin lelaki yang datang ke rumah pengantin perempuan dengan mengadakan adat mencuci kaki terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke dalam rumah. Majlis akad nikah kemudian dijalankan mengikut syariat Islam dengan dikendalikan oleh jurunikah. Namun, keunikan pakaian pengantin lelaki ialah pemakaian sapu tangan di kepala. Mas kahwin dan hantaran disediakan seperti biasa iaitu cincin, gelang atau rantai. Pengantin akan diraikan dengan meriah selepas diijabkabulkan.

  1. Majlis Menyerahkan Anak Perempuan
Amalan ini biasa dilakukan dalam masyarakat Malabari bagi menghantar pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki. Biasanya kakak atau adik perempuan pengantin lelaki bersama makcik dan saudara yang lebih tua akan akan pergi menjemput pengantin perempuan. Si suami  akan menyediakan pakaian selengkapnya kepada pengantin perempuan kerana pengantin tidak boleh memakai pakaian yang disediakan oleh ibubapanya. Pengantin perempuan hanya boleh memakai pakaian yang disediakan oleh suaminya sahaja ketika keluar dari rumahnya. Oleh itu si suami mestilah menyediakan pakaian lengkap untuk kegunaan isterinya selama tiga atau tujuh hari.
Pengantin perempuan akan diserahkan kepada wakil ibu mertua sama ada amayi (makcik sebelah bapa pengantin lelaki) atau nenek pengantin lelaki oleh ibu atau nenek pengantin perempuan untuk disayangi, dijaga dan diberi tunjuk ajar apa yang kurang. Sanak saudara pengantin perempuan yang menghantar rombongan akan diraikan dengan meriah oleh pihak pengantin lelaki. Mereka akan disambut dengan nyanyian dan akan berbalas nyanyian dengan wakil dari rumah pengantin perempuan. kemudian semua tetamu yang hadir akan dijamu dengan jamuan makan tengahari.

  1. Majlis Bertandang
Pengantin perempuan dan suaminya akan dibawa pulang ke rumah keluarga pihak perempuan pada hari ketiga atau ketujuh oleh abang, adik lelaki atau sepupu pengantin. Pasangan ini akan tinggal disana selama beberapa hari bertujuan bertandang ke rumah keluarga pengantin perempuan. Adat ini diamalkan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara pasangan pengantin dengan ahli keluarga baru. Majlis ini dikenali sebagai “Theatem” dan keluarga pengantin lelaki akan mengirim buah tangan seperti sireh dan kuih muih kepada besannya. Majlis ini akan dimeriahkan lagi oleh ahli keluarga dan saudara-mara pengantin perempuan. Setelah itu pasangan pengantin ini akan pulang semula ke rumah pengantin lelaki.

Adat Menyambut Kelahiran
            Masyarakat Malabari memang terkenal sebagai kaum yang mempunyai pelbagai adat dan budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman. Bagi masyarakat Malabari, kelahiran bayi adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang sudah berkahwin. Oleh itu, mereka akan mengadakan suatu majlis yang dinamakan majlis lengggang perut sebagai satu majlis kesyukuran. Ianya akan diadakan di rumah suami apabila si isteri genab mengandung tujuh bulan. Si isteri mestilah memakai pakaian serba putih dan mengambil peluang ini untuk meminta maaf atas segala kesalahan/kekurangan terhadap suami, mertua dan semua kaum keluarga kerana selepas itu dia akan pulang ke rumah ibubapanya.
 Majlis ini akan dihadiri oleh keluarga suami, isteri dan jiran tertangga serta keluarga perempuan datang dengan membawa buah tangan berupa sireh pinang dan makanan. Keluarga suami akan membekalkan sedikit wang sebagai keperluan bersalin kelak dan setelah itu pihak lelaki akan membalas juadah yang sama dibawa oleh pihak perempuan. setelah genab sembilan bulan, si suami dan keluarga akan melawat si isteri dengan membawa buah tangan seperti makanan, pakaian bayi serta wang sebanyak dua kali ganda jumlah yang telah diberikan sebelumnya.
            Selepas kelahiran bayi, iaitu pada hari ke-7 biasanya akan diadakan majlis akikah atau juga dikenali sebagai majlis mencukur kepala bayi yang baru lahir tersebut. Rambut bayi itu akan dicukur dan kepalanya akan disapukan dengan susu ibu serta diberi nama pada hari ke-7 kelahiran. Rambut tersebut ditimbang dan dinilaikan dengan harga emas semasa kemudiannya nilai wang tersebut akan disedekahkan kepada orang miskin. Majlis ini akan dibuat oleh keluarga si suami.
Setelah itu akan diadakan pula majlis lepas hari atau juga biasa dipanggil lepas pantang. Biasanya dilakukan pada hari ke-38 bagi bayi lelaki dan hari ke-40 bagi bayi perempuan beserta majlis mendodoi anak. Nyanyian akan diadakan oleh keluarga si suami yang datang ke rumah besan dengan persediaan yang perlu. Ibu dan anak yang habis pantang akan dimandikan dengan air minyak attar. Mereka akan dipakaikan dengan pakaian baru yang disediakan oleh si suami dan kemudiannya akan dihidangkan dengan kelapa bersama gula merah.

Masakan Tradisional Masyarakat Malabari
            Masyarakat Malabari merupakan etnik yang sangat menyanjung budaya dan warisan peninggalan nenek moyang mereka. Oleh yang demikian, pelbagai aspek budaya dan adat resam turun-temurun masih lagi diamalkan sehingga hari ini tidak hanya bagi golongan tua bahkan juga generasi muda. Antara aspek yang melambangkan tradisi dan jati diri masyarakat Malabari ialah warisan masakan tradisional mereka yang masih mengekalkan ciri-ciri keaslian masakan tersebut.
Bagi masyarakat Malabari, masakan tradisi merupakan suatu perkara yang harus dititikberatkan dan dipelihara warisannya terutamanya untuk diperturunkan kepada generasi muda supaya ciri-ciri budaya sesuatu kaum itu tidak luput ditelan zaman. Tambahan pula masyarakat ini telah lama bertapak di bumi Malaysia yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum yang berpotensi mempengaruhi ciri-ciri budaya etnik lain. Oleh sebab itu, setiap generasi masyarakat Malabari haruslah menguasai resepi masakan tradisi mereka antaranya ialah patri, velcena patri, puttu, kari kacang kuda dan banyak lagi. Kebanyakkan juadah masyarakat Malabari diperbuat daripada tepung beras dan dimasak menggunakan kaedah tradisional iaitu kayu api dijadikan bahan bakar utama bagi tujuan menaikkan lagi keharuman masakan tersebut.

Masakan Tradisional Masyarakat Malabari di Renggam, Kluang, Johor.

  1. Patri
Masakan ini biasanya dihidangkan kepada tetamu ketika majlis perkahwinan. Juadah ini sangat mudah disediakan iaitu dengan menyediakan segenggam tepung beras, secubit garam dan secawan air. Kesemua bahan  tersebut digaul rata, diadun sehingga menjadi doh dan ditebarkan lalu dimasak tanpa minyak. Hidangan ini sangat sesuai disajikan bersama kari daging atau kari ayam.

  1. Velcena Pacri
Bahan-bahan yang diperlukan bagi meyediakan makanan ini ialah bawang merah yang dihiris nipis, halba, kelapa parut, tepung beras, secawan air dan secubit garam. Bahan-bahan tadi kemudiannya digaul dan diuli seterusnya digoreng.

  1. Puttu
Bagi menyediakan hidangan ini, ramuan-ramuan yang diperlukan ialah seperti tepung beras, kelapa parut, air, gula dan buluh. Bahan-bahan tadi diuli dengan kelapa yang telah dicampur dengan gula. Kemudiannya adunan tersebut dimasukkan ke dalam bekas buluh yang dibalut dengan kain. Buluh ini dimasak diatas air yang mendidih. Hidangan ini sangat enak dihidangkan bersama pisang dan gula.

  1. Kari Kacang Kuda
Bahan-bahan yang diperlukan bagi menyediakan resepi ini ialah kentang, rempah kari, daun kari, halia yang dihiris, bawang, cili kering, halba, kacang tanah, garam dan buah pelaga. Ramuan seperti bawang, halia, daun kari, cili kering, halba dan pelage ditumis bersama. Kemudian dimasukkan rempah kari dan ditambah air, kentang dan akhir sekali dimasukkan kacang tanah ke dalam ramuan tadi lalu dikacau sehingga masak dan dihidangkan.

  1. Vella Apam
Bagi menyediakan juadah ini, ramuan yang diperlukan ialah tepung beras, kelapa, garam dan air digaul dan adunan ini diuli hingga sebati. Kemudiannya digoreng. Sajian ini sesuai dihidangkan bersama kari ikan.

  1. Nayee Apam
Antara bahan-bahan yang diperlukan bagi membuat makanan ini ialah tepung beras, gula merah, air, gula pasir dan jintan. Kesemua bahan-bahan akan diuli bersama.

  1. Puu Vade
Penyediaan Puu Vade memerlukan bahan-bahan seperti tepung beras, gula merah, kelapa parut, gula, garam dan daun pisang. Makanan ini mempunyai bahagian kulit luarnya dan ramuan yang diperlukan bagi membuat bahagian ini ialah tepung, air dan garam digaul sehingga rata. Bagi membuat intinya pula, kelapa parut mestilah digaul bersama gula merah sehingga sebati. Kemudian, dengan menggunakan daun pisang, inti dimasukkan ke dalam adunan tepung dan dibungkus seperti lepat.

  1. Matram Kari
Untuk menyediakan hidangan ini, kelapa parut, gula pasir, gula merah dan garam akan di masak diatas belanga. Kemudian adunan ini digentel-gentel. Bagi membuat kuahnya pula, memerlukan gula merah, gula pasir, garam, santan dan tepung beras dicampurkan bersama dan digaul sehingga sebati.

  1. Andy Putte
Resepi masakan ini memerlukan bahan-bahan seperti kacang tanah, kacanag gajus, jintan, gula Melaka yang ditumbuk dengan menggunakan ‘antan’ (batu lesung besar) sehingga hancur. Adunan ini kemudiannya dikepal-kepal.

  1. Papadam
Papadam merupakan resepi yang bukan sahaja terkenal dikalangan masyarakat Malabari malahan juga dikalangan masyarakat Melayu yang meminati makanan ini. Untuk menyediakannya, bahan-bahan yang diperlukan ialah tepung beras, minyak, tepung kacang dal, jintan, air, dua sudu teh soda dan sedikt minyak untuk menggoreng. Kesemua bahan tadi dicampurkan dan diadun sehingga sebati lalu digelek sehingga nipis dan digoreng.

  1. Chakara Chora (nasi manis)
Masyarakat Malabari akan meraikan hari nisfusyaaban dengan menyediakan hidangan istimewa yang dinamakan chakara chora atau nasi manis sebagai satu hidangan wajib bagi setiap rumah. Antara bahan yang diperlukan bagi menyediakan sajian ini ialah beras india, gula melaka, kayu manis, kelapa dan gajus. Kesemua bahan tadi dicampurkan dengan beras dan ditanak diatas api sehingga masak.

  1. Cheera Kanyi
Bagi menyediakan juadah berbuka puasa di bulan Ramadhan, hidangan ini merupakan hidangan wajib dalam setiap keluarga masyarakat Malabari. Makanan ini enak dan disajikan bersama lauk kuttan dan toillee kelapa. Ramuan yang perlu disediakan ialah beras india, air secukupnya, serbuk kunyit, bawang besar, halia dan garam. Bahan-bahan seperti bawang, serbuk kunyit dan halia hendaklah digoreng sehingga garing. Kemudiannya ditambah dengan air. Setelah sebati, masukkan garam secukup rasa. Akir sekali beras dimasukkan dan tanak nasi sehingga masak.

  1. Kuttan (keladi)
Masyarakat Malabari juga menggemari keladi atau juga dikenali sebagai kuttan. Untuk memasak sajian ini memerlukan sayur keladi, garam, kelapa, jintan, bawang putih, bawang merah, kunyit, cili kering dan minyak. Bahan-bahan seperti bawang putih, jintan, bawang merah, kunyit, cili kering ditumis sehingga naik bau. Kemudian santan dicampurkan bersama garam. Akhir sekali masukkan keladi dan masak sehingga keladi empuk.

  1. Toillee Kelapa
Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan masakan ini ialah ikan bilis, cili kering, bawang kecil, halia dan asam jawa. Kesemua bahan tadi digiling sehingga lumat. Makanan ini dimakan seperti sambal belacan.

Penutup
Masyarakat Malabari merupakan satu masyarakat yang sangat mementingkan adat dan budaya warisan masyarakat terdahulu. Oleh yang demikian, pelbagai usaha dilakukan oleh masyarakat ini bagi memastikan kelangsungan adat dan tradisi mereka kekal seiring arus permodenan masyarakat setempat. Adat budaya dan tradisi masyarakat Malabari masih lagi diamalkan oleh kaumnya sehingga sekarang sungguhpun mereka telah lama bermastautin di bumi Malaysia ini. Penghijrahan nenek moyang mereka ke daerah Nusantara ini tidak bermakna adat resam dan amalan tradisi mereka juga luput ditelan budaya setempat. Bagi mereka kesenian dan kebudayaan warisan turun-temurun mestilah disanjung dan dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang. Bak kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’.

Rujukan

  1. Zurea Fareenawaty Zulkifli, (2008). Laporan Sosio – Budaya: Kajian Penyelidikan dan Pendokumentasian Masyarakat Malabari di Negeri Johor. Bahagian Persuratan dan Sejarah, Yayasan Warisan Johor.
  2. Resepi Masakan Tradisional Masyarakat Malabari. Yayasan Warisan Johor.
  3. Pendokumentasian Tradisi, Kesenian dan Kebudayaan Masyarakat Malabari. Yayasan Warisan Johor.
     

8 comments:

  1. boleh tak saya tanya di bahagian mana rujukan ini. diperolehi dari bangunan yayasan ??

    ReplyDelete
  2. http://pemsville.blogspot.my/2018/03/malbari.html?m=1

    ReplyDelete
  3. apa beza malabari, malbari dan malabar ye ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. is just a spelling... malabari sama mcm malaysian.. malabar mcm malaysia... malabar is a district name ke im not sure... i rase malabar tu is a form of etnik sbb my dad say xde tmpt kt peta kerala name malabar...

      malabari / malbari (bhs sebutan biasa bunyi gini) same je.. is just a matter of spelling klu sebetulnya.. malabar with ’i’

      Delete
  4. malabari is orang malabar. bangsa malayalam di gelar malayali. nama bangsa ialah malay/malai/mala..ali adalah orang/person. malakala alam bermaksud kawasan atau tanah. malay alam bermaksud kawasan/ tanah malay.

    malabar nama yg digelar oleh org arab pada malayalam muslim.jadi bila malabari tu nak menggambarkan malabar person. nama sebenar bangsa ialah mala/malai bermaksud gunung. manakala bar bermaksud tanah. jsama juga bawa maksud tanah Mala. sebab bumi kerala tempatnya gunung ganang. ramai org kerala dtg malaysia selalu ckp kawasan perkampungan malaysia sama macam suasana perkampungan di negeri kerala.

    malabar is a district in kerala. Agama islam sampai di kerala pada zaman NabiUhammad saw masih di mekah berpunca dari peristiwa bulan terbelah yg disaksikan oleh raja cheraman perumal yg beragama hindu pada ketika itu.

    raja kemudian bertanya pada pendita ttg peristiwa tersebut dan pendita memaklumkan bahawa itu adalah tanda dtgnya nabi terakhir. raja kemudia mengembara bersama isteri ke mekah bertemu baginda rasulullah dan memeluk islam dihadapan baginda.

    raja meninggal dlm perjalanan pulang ke kerala. sahabat nabi bernama malik bin dinar yg diitus bersama raja dan isteri sampai ke kerala dan mengembangkan agama islam di sana. masjid pertama di india masih ada di situ diberi nama malik cheraman masjid.

    wallahualam

    ReplyDelete