Pages

Tuesday 26 July 2011

Patient Shaytan, Impatient Insaan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Patient Shaytan, Impatient Insaan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Tun Sri Lanang Pengarang dan Penyusun Sejarah Melayu ( Sulalatus Salatin) 1612-1614


Pengenalan
Tun Sri Lanang adalah nama timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Pada ketika itu, ramai bangsawan dan rakyat Johor yang mengikut beliau ke Aceh dan dikatakan seramai ribuan orang yang mengikut beliau ke sana. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana. Pada waktu itu, beliau telah berjaya menjadikan negeri Samalanga sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam di timur Aceh dan sehingga kini pun kawasan tersebut masih lagi menjadi tumpuan bagi sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu agama.
Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana karyanya iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri, ulama dan penasihat agama Sultan Aceh, telah memperakukan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin kerana beliau kenal rapat dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614 selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan terlengkap yang menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara.
Karya-karya yang dimuatkan dalam kitab ini termasuklah yang berunsur humor dan kisah-kisah cinta serta salasilah raja-raja yang telah disampaikan mesejnya kepada pembaca melalui imaginasi yang kaya, lukisannya yang tepat dan tajam. Pengarang juga berjaya menunjukkan penguasaan beliau dalam pelbagai bahasa  asing seperti bahasa Arab dan Jawa. Penggunaan bahasa Melayunya pula dikarang dengan indah dan sesuai dijadikan panduan penulisan sepanjang zaman. Melalui karya ini, dapat dibuktikan bahawa penulis iaitu Tun Sri Lanang mempunyai minat yang tinggi dengan sejarah dan suasana pergolakan politik Melaka pada waktu itu. Beliau sangat berminat membaca naskhah sastera dan sejarah tertua seperti Hikayat Raja-raja Pasai (Kesultanan Pasai-Samudra) yang sedikit sebanyak menyumbang kepada idea penulisan dalam karya Sulalatus Salatin. Kini, ratusan puisi, drama, filem, lukisan, esei dan karya sejarah adalah diilhamkan daripada kitab Sulalatus Salatin yang juga banyak diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti bahasa Jerman, Russia dan Inggeris.
Mengarang Sejarah Melayu
            Tun Muhammad atau nama timang-timangannya Tun Sri Lanang mula mengarang karya Sulalatus Salatin bermula pada tahun 1612 dan lebih terkenal sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu disamping jawatannya sebagai Bendahara Kerajaan Johor. Beliau disifatkan sebgai seorang yang kreatif, berpengetahuan luas dalam aspek penggunaan gaya bahasa dan penulisan, peraturan dan adat istiadat Melayu. Karya terunggul beliau ini berkait rapat dengan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan karya tersebut seringkali dijadikan rujukan sejarah bagi mengkaji peradaban Tamadun Islam Beraja. Karya Sulalatus Salatin yang merangkumi pelbagai aspek penceritaan menjadikan ianya sebagai sumber rujukan utama tentang kebudayaan dan ketamadunan masyarakat Melayu awal.
            Karya ini juga dianggap sebagai karya yang begitu indah dan menarik dari segi gaya bahasa dan persuratannya. Kandungannya yang meliputi unsur kelucuan, kebijaksaan, sindiran, perlambangan, peribahasa, bidalan, pantun seloka, dan gurindam yang dikarang dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Arab, Jawa dan lain-lain dengan begitu teliti dan kemas. Namun, ia juga tidak terlepas daripada ‘Polemik Sejarah’ kerana naskhah tersebut didakwa bukan naskhah asal karangan Tun Sri Lanang tetapi kandungannya adalah daripada Hikayat Melayu yang diberikan oleh Tun Bambang Sri Narawangsa, anak Sri Askar Raja, Patani. Hikayat itu dikatakan telah dikarang dan disusun semula oleh Tun Sri Lanang atas titah Raja Abdullah, iaitu adinda Sultan Alauddin Riayat Shah III yang akhirnya menjadi Sulalatus Salatin. Sejarah penting berkaitan arahan dan galakan oleh Raja Abdullah kepada Tun Sri Lanang untuk menulis dan mengarang tentang Sejarah Melayu ada tercatat dalam kitab tersebut sebagai mukadimahnya. Dengan titah Raja Abdullah tersebut, dapat disimpulkan bahawa penulisan kitab Sulalatus Salatin telah dimulakan pada 12 Rabiul Awal 1021 Hijrah bersamaan Mei 1612 ketika itu Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pasir Raja.
            Karya Sulalatus Salatin ini juga cuba dinafikan oleh sesetengah pihak tentang penulis sebenarnya termasuk seorang penulis barat iaitu R. O. Winstedt. Namun, pendapat beliau dibantah oleh ramai sarjana tempatan dan luar Negara. Menurut Teuku Iskandar dalam bukunya Kesusasteraan Melayu Klasik Sepanjang Abad berkata bahawa Tun Sri Lanang bukan penulis asal Sulalatus Salatin. Walaupun begitu, menurut beliau berdasarkan penyelidikan-penyelidikan yang dibuat menunjukkan bahawa penyalin naskhah Melayu itu bukanlah penyalin dalam erti kata yang sebenarnya seperti mana yang berlaku di Bali. Penyalin juga boleh dianggap penyarang kerana banyak memperbaiki kesalahan dan menambah sebarang kekurangan dalam karya, mengurangkan apa yang dirasakan lebih, serta mengubah struktur dan gaya bahasa karya asal bersesuaian dengan keadaan pada zaman itu. Jika dilihat semula pada mukadimah yang ditulis  oleh Tun Sri Lanang dalam kitab Sulalatus Salatin, Teuku Iskandar berpendapat bahawa Tun Sri Lanang bukan sekadar penyalin bahkan merupakan penulis asal karya tersebut.
            Syeikh Nuruddin al-Raniri juga turut menjadikan Sejarah Melayu sebagai rujukan utama dalam penulisan karyanya iaitu Bustanatus Salatin (Taman Raja-raja) yang ditulis pada tahun 1637-1641. Beliau merupakan seorang ulama, penulis terkenal di Nusantara dan juga sahabat akrab Tun Sri Lanang, turut memetik banyak perkara daripada Sejarah Melayu, Bab II fasal 12 yang berbunyi seperti berikut:
            “Kata Bendahara Paduka Raja Tun Sri Lanang yang mengarang kitab misrat Sulalatus Salatin, ia mendengar daripada bapanya, ia mendengar daripada nenek dan datuknya, tatkala ada hijrat al Nabi SAW seribu dua puluh esa, pada bulan Rabiul Awal pada hari ahad, a mengarang hikayat pada menyatakan segala raja-raja kerajaan di negeri Melaka, johor, Pahang dan meyatakan bangsa dan salasilah mereka itu daripada Sultan Iskandar Zulkarnain…”
            Pendapat itu juga disokong oleh penulis buku Sejarah Johor, Buyong Adil yang menyatakan:
            “Tun Sri Lanang selalu berguru daripada ulama terkenal di Aceh seperti Nuruddin al-Raniri, Tun Aceh, Tun Burhat, Hamzah Fansuri, Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani. Dengan itu, Syeikh Nuruddin al-Raniri tentu amat mengenali Tun Sri Lanang”.
            Abdul Samad Ahmad juga dalam Sulalatus Salatin versi beliau, turut membangkang pendapat R. O. Winstedt dengan hujah-hujah yang kukuh. Beliau berasa hairan dengan Winstedt yang beria-ia menafikan Tun Sri Lanang sebagai penulis dan penyusun Sulalatus Salatin sedangkan Winstedt sendiri ada menyatakan dalam mukadimah edisinya yang berbunyi:
“…Demikian bunyinya titah Yang Maha Mulia itu, bahawa hamba minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara, peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya…..Bendahara yang disebutkan itu tentunya bukan Tun Bambang….”
            Beliau juga menambah, Tun Sri Lanang menulis karya tersebut untuk menggembirakan rajanya , setelah memohon petunjuk daripada Allah SWT dan Syafaat daripada Nabi Muhammad SAW. Maka bermulalah penulisan Sulalatus Salatin atau “Pertuturan Segala Raja-raja” berdasarkan apa yang diceritaka oleh ayahdan datuknya. Oleh itu, sudah tentu karya tersebut dikarang dengan penuh teliti dan berhati-hati oleh Tun Sri Lanang dan padanya karya itu cukup sempurna dari aspek sasteranya.
            Teuku Iskandar dan A. Samad Ahmad juga berpendapat bahawa bukan perkara luar biasa jika seorang Bendahara dapat mengarang hikayat, jika dilihat semula nendanya Tun Isap Misai pernah menulis Hikayat Anak Panah Sedasa. Malah ketokohan dalam bidang penulisan ini juga diwarisi oleh zuriat Tun Sri Lanang contohya daripada pujangga Riau seperti Raja Ali Haji. Tun Sri Lanang mula menumpukan perhatian dalam pengkajian hasil-hasil kesusasteraan Aceh selepas perang di Batu Sawar pada tahun 1613 apabila beliau ditawan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah III dan dibawa ke Aceh. Oleh sebab itu, beliau mempunyai masa yang panjang untuk mengkaji dan menelaah hasil-hasil karya tersebut. 
            Pada ketika itu juga terdapat beberapa penulis masyhur Aceh seperti Syeikh Shamsuddin Pasai, Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari dan Nuruddin al-Raniri. Persamaan zaman antara Tun Sri Lanang dengan pengarang-pengarang hebat ini dapat dikatakan kemungkinan besar mereka sempat bertukar maklumat dan pendapat antara satu sama lain yang mungkin sedikit sebanyak turut mempengaruhi penulisan beliau. Melihat kepada bukti-bukti tersebut, dapat ditegaskan bahawa Tun Sri Lanang adalah pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin dan karya ini seharusnya diiktiraf sebagai karya karya asal tulisan Tun Sri Lanang dan beliau bukan sekadar penyalin semata-mata. Sungguhpun teks Hikayat Melayu diambil sebahagian daripada kandungannya, namun rujukan bahan, sumber-sumber primer, serta cerita-cerita lisan yang didengar daripada datuk neneknya dan daripada pengalamannya sendiri yang disusun dan digarap mengikut gaya bahasa yang tersendiri dalam pelbagai aspek sastera cukup untuk menjadikan beliau digelar pengarang Sulalatus Salatin yang asli.  
Kepengarangan Tun Sri Lanang
            Kepengarangan merupkan satu istilah baru dalam dunia penulisan Melayu dan istilah ini terbentuk apabila wujudnya kesedaran dikalangan peneliti-peneliti sastera tentang hubung kait antara pengarang dengan karya yang dihasilkan. Pada awal zaman penulisan, penulis atau pengarng tidak begitu mengambil berat tentang kepentingannya sebagai orang yang mencipta sesuatu karya. Maka, pada zaman dahulu kebanyakan hasil karya sastera tidak dapat dipastikan siapa penulis asalnya kerana tidak tercatat di mana-mana tentang nama penulisnya. Sehubungan dengan itu, penekanan terhadap reaksi pembaca kepada karya yang dihasilkan serta keberkesanan teks dan mesej yang ingin disampaikan juga menyebabkan kehadiran pengarang sebagai pencipta karya seperti disisihkan. Sungguhpun begitu, pengarang atau penulis tidak dapat dipisahkan begitu sahaja daripada karya yang dihasilkan kerana pengarang adalah sumber pertama yang mencetuskan idea dalam sesuatu penulisan karya. Pengarang juga adalah orang yang membina plot atau jalan cerita yang bermula dengan permulaan cerita, konflik, klimaks dan akhirnya peleraian dalam sesuatu kisah atau penceritaan.
Hal ini telah menyebabkan ramai yang tidak mengenali pengarang hebat suatu waktu dahulu kerana tidak dicatat nama penulis bersama karyanya. Oleh itu, pengarang adalah hal penting yang harus diberi keutamaan setiap kali perbincangan penulisan dan kesusasteraan dibincangkan. Terlalu sedikit penulis masyhur pada zaman dahulu yang dikenali dan antara nama besar yang dikenal pasti sebagai penulis yang banyak menyumbang dalam catatan sejarah Melayu tidak lain tidak bukan iaitu Tun Sri Lanang. Nama lain yang turut diberi perhatian adalah seperti Raja Chulan bin Raja Abdul Hamid, Raja Haji Ahmad, Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, Sultan Mahmud Badaruddin, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, Raden Anom, Raja Aisyah, Raja Sapiah, Encik Amin dan beberapa orang yang lain lagi.
            Merujuk semula kepada perbincangan di atas, perbahasan tentang kepengarangan seseorang pengarang melibatkan pelbagai aspek seperti latar belakang kehidupannya, zaman perkembangan masyarakat dan hasil karya ciptaannya. Maka, perbincangan tentang Tun Sri Lanang juga akan menyentuh beberapa aspek tersebut yang meperlihatkan identiti penulis namun perbincangan tidak akan megupas isu gaya bahasa serta pemilihan kata yang digunakan dalam karya tulisan beliau. Ini adalah kerana aspek-aspek tersebut sudah seringkali dibahaskan jika dibandingkan dengan penelitian tentang latar belakang pengarang itu sendiri. Oleh sebab itu, kepengarangan Tun Sri Lanang akan membincangkan tentang riwayat hidup beliau serta penglibatan beliau dalam bidang penulisan kesusasteraan.
             Namun apa yang paling penting sekali ialah perbincangan tentang beliau dan karya agungnya iaitu Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang dikarang bermula tahun 1612. Oleh kerana maklumat tentang latar belakang beliau sangat terhad, jadi antara maklumat yang diperolehi adalah daripada beberapa teks yang secara kebetulan menceritakan tentang pengarang ini. Maklumat terpenting mengenai beliau turut tercatat dalam mukadimah beberapa versi Sejarah Melayu termasuk edisi Shellabear (pertama kali diterbitkan pada tahun 1989) dan dalam Sulalatus Salatin yang diselenggara oleh A. Samad Ahmad (pertama kali diterbitkan pada tahun 1979). Karya beliau sedikit sebanyak telah menyumbang maklumat berkenaan diri beliau iaitu tentang keturunan beliau yang digelar Tun Sri Lanang, dilantik menjadi Bendahara Paduka Raja pada zaman pemerintahan Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah (Raja Abdullah). Maklumat lain yang lebih jelas tentang beliau telah diperolehi daripada penyelidikan A. Halim Nasir (1995).
            Beliau yang dilahirkan pada tahun 1565 di Bukit Seluyut, Kota Tinggi, Johor merupakan anak kepada Orang Kaya Paduka Raja Ahmad dan bondanya bernama Tun Genggang. Beliau berasal daripada keturunan keluarga Bendahara Seri Maharaja, Melaka yang merujuk kepada Baginda Mani Purindam yang berasal daripada Bukit Siguntang. Beliau telah dilantik menjadi Bedahara ke-14 yang membawa gelaran Bendahara Seri Maharaja Johor pada tahun 1580 oleh Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah dan baginda telah mangkat pada tahun 1615. Dalam buku Bustanatus Salatin, karya Syeikh Nuruddin al-Raniri merujuk pada tulisan Tun Sri Lanang ketika membentangkan sejarah Kesultanan Aceh, Syeikh Nuruddin telah menyatakan bahawa Sultan Aceh telah memberi kebenaran untuk empat orang pembesar Johor mengadap dengan membawa persembahan. Salah seorang pembesar itu hanya disebut Paduka Raja sahaja tanpa nama sebenar, namun pembesar tersebut diyakini adalah Tun Sri Lanang kerana setahun kemudian iaitu pada tahun 1613, beliau tiba semula di Aceh bersama Sultan Alauddin Riayat Syah III dan Raja Abdullah yang bersama-sama mengadap Sultan Iskandar Muda Aceh.
            Dalam mukadimah Sulalatus Salatin ada mencatatkan bahawa Tun Sri Lanang telah menulis kitab tersebut di atas titah Raja Abdullah yang menginginkan hikayat dan istiadat Raja-raja Melayu ditulis supaya beroleh kebaikan dan faedah daripadanya untuk tatapan generasi masa kini.
            “Bahawa hamba minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara pada menyatakan peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh faedah mereka itu daripadanya.”  
(A.  Samad Ahmad, 1986:2-3)
Oleh itu, bermulalah kerja Tun Sri Lanang ke atas pengeditan Hikayat Melayu pada tahun 1612 bersamaan 12 Rabiul Awal 1021 Hijrah. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan tentang tarikh karya itu mula dikarang seerti yang dinyatakan iaitu pada hari Khamis namun beberapa sarjana telah menyelesaikan masalah ini dan bersetuju bahawa tarikh sebenar ialah pada hari Ahad 12 Rabiul Awal 1021 Hijrah. Mereka yang telah menyelidik dan berjaya menyelesaikan masalah ini adalah Teuku Iskandar dan A. Samad Ahmad.
            Persoalan tentang siapakah pengarah sebenar Sulalatus Salatin telah dipersoalkan seawal-awalnya oleh Wilkinson (1933) dan Winstedt (1938) dan dipanjangkan hinggalah ke tahun 1990 -an. Kebanyakan pengkaji ini berasa sangsi tentang ketulenan Tun Sri Lanang sebagai pengarang Sulalatus Salatin kerana mereka hanya menganalisis karya tersebut berdasarkan versi yang ada pada mereka tanpa memikirkan tentang kewujudan berpuluh-puluh versi lain. Kekeliruan yang lain wujud adalah kerana wujudnya versi panjang dan versi pendek yang dikenalpasti oleh Koolvink (1967). Sejarah Melayu M. Raffles 18 adalah versi pendek dan dalam versi ini, Winstedt telah menemui catatan “wa katibuhu Raja Bongsu”, lalu mempercayai seseorang yang bernama Raja Bongsu adalah pengarang sebenar dan bukan sekadar penyalin karya Sulalatus Salatin. Selain itu, versi-versi itu juga mengalami pelbagai perubahan, penambahan, penyingkiran dan sebagainya di tangan penyalin-penyalin terkemudian. 
            Pada abad ke-20, peneliti-peneliti penulisan Melayu belum lagi mempunyai pengetahuan yang luas mengenai penulisan dan kesusasteraan Melayu. Oleh sebab itu, kebanyak mereka tidak sedar akan peranan penyalin yang juga boleh diterima sebagai pengarang bersama (co-author: Voorhoeve) kerana banyak melakukan kerja-kerja menyemak, menyusun, membetulkan kesalahan sekaligus meningkatkan lagi mutu penulisan pengarang asal.  Oleh kerana mereka masih belum mahir dalam ilmu penulisan kesusasteraan Melayu tradisional secara amnya dan tentang wujudnya tradisi penyalinan manuskrip Melayu yang mempuyai peraturan-peraturan dan sifat-sifatnya yang tersendiri telah menyebabkan mereka mudah menolak keaslian seseorang pengarang atau penyusun sesuatu karya.
            Akhirnya Teuku Iskandar (1995) telah membuat kesimpulan badasarkan kepada maklumat yang diperolehi berpendapat bahawa Sejarah Melayu yang terdapat dalam Hikayat Melayu telah wujud sebelum Melaka dikalahkan Portugis lagi dan bukan merupakan hasil karangan seorang pengarang tunggal. Tradisi penulisan seperti ini telah diinspirasikan daripada penulisan manuskrip oleh sami-sami kuil Buddha yang ingin mengekalkan penulisan kitab Maharamsa di Sri Lanka. Juga daripada contoh catatan oleh raja-raja yang memerintah Sulawesi apabila berlaku sesuatu peperangan, kelahiran, kematian, pertabalan raja dan sebagainya. Pendapat bahawa Sejarah Melayu telah wujud sebelum 1511 juga dapat dibuktikan dengan kenyataan tentang Sultan Muzaffar Syah yang memerintah pada tahun 1444-1458 yang telah meminta segala undang-undang dan peraturan kerajaan dicatatkan dalam bentuk tulisan.
            Undang-undang Melaka merupakan contoh terbaik yang telah wujud sejak zaman Sultan Muhammad Syah lagi iaitu raja pertama yang memeluk Islam. Undang-undang tersebut telah diperturunkan sehingga zaman Sultan Muzaffar Syah dan ada kemungkinan hukum-hukumnya telah dikemaskinikan. Dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa Hikayat Melayu telah dimulai dalam bentuk lisan yang kekal dalam ingatan orang-orang tertentu sebelum dipindahkan dalam bentuk tulisan. Hikayat atau cerita yang terdapat dalam Sulalatus Salatin  banyak menceritakan tentang zaman sebelum kejatuhan Melaka dan selepas itu ditambah dengan beberapa cerita lain yang dimuatkan oleh Tun Sri Lanang seperti Hikayat Iskandar dan Hikayat Raja-raja Pasai pada tahun 1612. Begitu juga disebut tentang Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah menunjukkan bahawa beberapa bab terakhir yang ditulis oleh seseorang yang hidup pada zaman kejatuhan Melaka.
            Kepelbagaian versi Sejarah Melayu juga telah membuatkan kita dapat membaca pelbagai versi tentang sejarah Sultan Mansur Syah yang dilagendakan perkahwinannya dengan Puteri Jawa dan Puteri Pahang. Begitu juga dengan peminangan Sultan Mahmud Syah terhadap Puteri Gunung Ledang yang diubah oleh penyalin kepada Sultan Mansur Syah mungkin kerana kekagumannya terhadap Sultan Mansur Syah dengan harapan dapat meningkatkan lagi citra Sultan namun tidak menyedari tentang interpretasi cerita tersebut telah mengurangkan kewibawaan Sultan. Antara perubahan lain yang berlaku dalam Sejarah Melayu adalah seperti perubahan watak Hang Jebat yang bertarung dengan Hang Tuah yang telah diubah kepada Hang Kasturi dalam versi lain. Sejak itu penulis dengan mudah dan berani dapat mengkritik dan menyindir Sultan secara terbuka melalui pelbagai kisah seperti peminangan Puteri Gunung Ledang, peristiwa pembunuhan Bendahara Seri Maharaja dengan keluarganya yang mengandungi pengajaran dan teladan. Dengan fakta yang disediakan oleh Tun Sri Lanang telah memperlihatkan kepengarangannya dalam karyanya yang ditulis dan dilukis dengan penuh imaginasi dan indah sekali seperti peristiwa pembunuhan Bendahara.
Sungguhpun begitu, Tun Sri Lanang tidak boleh menggunakan penanya dengan sewenang-wenangnya sebaliknya haruslah menulis dan mengarang dengan penuh saksama, berhemah, bijak dan berjiwa murni agar karyanya dilihat dengan penuh keagungan dan disanjung tinggi. Kenyataan tentang karya tersebut telah dikemaskini adalah apabila wujudnya versi panjang Sejarah Melayu seperti manuskrip W188 dan W190 yang tersimpan di Jakara dalam koleksi Von de Wall, yang penceritaanya dilanjutkan sehingga peristiwa Johor dikalahkan oleh angkatan Jambi pada tahun 1673. Versi panjang juga menceritakan tentang asal usul Hang Tuah juga tentang siapakah yang sebenarnya bertarung dengan Hang Tuah sama ada Hang Jebat atau Hang Kasturi. Versi panjang juga mempunyai beberapa cerita atau hal lain yang tidak tercatat dalam Sejarah Melayu versi pendek. Roolvink (1967) dalam penyelidikannya telah berpeluang menatap suatu naskhah berjudul “Cerita Asal Raja-raja Melayu Punya Keturunan” yang dikatakan suatu ‘terjemahan’ daripada Sulalatus Salatin, beliau berpendapat bahawa Tun Sri Lanang telah mengemaskini, memperbaiki dan memberi isi yang lebih lengkap dan ini mungkin merupakan suatu versi Hikayat Melayu. Tugas yang diberikan kepada Tun Sri Lanang bukanlah suatu tugas yang mudah dilaksanakan dan ianya memerlukan seseorang yang berpengetahuan luas dalam hal bahasa, peraturan dan istiadat Melayu, malah turut mempunyai kemahiran dalam kehidupan istana serta orang-orang yang berpengaruh.
Bahagian akhir Sulalatus Salatin secara tidak langsung memperlihatkan kemahiran dan kewibawaan Tun Sri Lanang dalam menangani masalah selepas kemangkatan Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah. Raja Abdullah yang diwariskan takhta kepadanya tidak mahu ditabalkan sebagai raja dan menyerahkannya kepada kekandanya Raja Mansur dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah III. Sungguhpun begitu, segala hal pentadbiran diserahkan kepada Tun Sri Lanang. Oleh hal yang demikian, Tun Sri Lanang terpaksa berulang-alik berjumpa Raja Abdullah untuk berunding hal negeri dan pada ketika itulah Raja Abdullah mengetahui tentang Hikayat Melayu lalu menitahkan Tun Sri Lanang untuk memperbaiki karangannya.
 Pada tahun 1726, Francois Valentijn telah menyenaraikan Sulalatus Salatin disamping Hikayat Hang Tuah dan Bustanatus Salatin sebagai suatu karya yang wajib dibaca oleh orang Barat yang datang ke Nusantara. Ini adalah kerana kehalusan bahasa yang digunakan, keindahan pemikiran dan keteraturan adab yang disampaikan dalam karya tersebut akan membuatkan sesiapa yang membacanya merasa terpesona dan terpana dengan ketinggian ilmunya. Dengan ini, jelas menunjukkan bahawa Tun Sri Lanang telah berjaya menjalankan tugasnya sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin dengan cukup hebat sekali sehingga karya tersebut terus-terusan menjadi rujukan dan bahan perbincangan dalam penulisan kesusasteraan Melayu hingga berabad lamanya.
Tun Sri Lanang bukan sahaja penyalin biasa, bahkan beliau telah mengisi peranannya dari pelbagai sudut seperti menyemak ketepatan fakta, meneliti cerita asal yang ditulis daripada pencerita, menjadi perunding adat dan istiadat diraja, juga menyelaraskan kesempurnaan gaya bahasa yang digunakan dalam keseluruhan teks. Naskhah Hikayat Melayu bukanlah naskhah hikayat hiburan semata-mata tetapi merupakan naskhah yang mengisahkan tentang raja-raja dan adat istiadat sesuatu negeri. Oleh itu, sangat penting naskhah ini diberikan kepada orang yang tepat supaya boleh dikemaskini dengan baik untuk tatapan generasi akan datang. Pemilihan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin adalah orang yang tepat kerana kebijaksaan yang ditunjukkan oleh beliau dalam karya tersebut. Tun Sri Lanang telah mengakui kepengarangannya sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu yang dinamai Sulalatus Salatin terserlah apabila beliau begitu yakin dengan kesempurnaannya seperti yang dinyatakan dalam karyanya
“…maka fakir karanglah hikayat ini, kama sami’tuhu min jaddi wa abi, supaya akan menyukakan duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat ini Sulalatus Salatin, yakni pertuturan segala raja-raja, hazihi durratul-akhbar, wal amsal, inilah mutiara segala ceritera dan cahaya segala peri umpamanya”
                                                                                                (A. Samad Ahmad, 1986:3)
Dengan terdapatnya Hikayat Melayu ditangan Tun Sri Lanang telah menjadikan hikayat tersebut berubah daripada catatan-catatan dan penceritaan yang tidak baku kepada sebuah karya yang cukup indah bahasanya dan begitu sempurna dari segi kesusasteraan Melayu.
            Wilkinson pernah menyatakan bahawa tidak ada gunanya Tun Sri Lanang menumpukan perhatian terhadap penulisan berbanding tugas mentadbir negeri. Tetapi itu hanya tepat apabila negeri berada dalam keadaan aman sedangkan pada ketika itu negeri Johor sedang mengalami pergolakan setelah diserang Portugis dan Aceh. Setelah Tun Sri Lanang dan Sultan Alauddin Riayat Syah III serta Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah menetap dalam pembuangan di Aceh, beliau telah bebas daripada segala tugas pentadbiran negeri dan ini telah menbolehkan beliau menumpukan sepenuh perhatian penulisan Sejarah Melayu.  Pendapat A. Samad Ahmad menyatakan bahawa Hikayat Melayu bukan dibawa dari Goa, India mahupun dari Gua Sai, Pahang. Selain itu penulis ini juga memberi perhatian tentag keadaan dan kedudukan Sultan Abdullah Maayat Syah sebagai Sultan yang telah memerintahkan supaya naskhah Hikayat Melayu diperkemaskan, bukan kekandanya Sultan Alauddin Riayat Syah III yang telah berangkat ke Aceh.
            Sungguhpun dalam mukadimah Sejarah Melayu ada menyebut tentang Sultan Abdullah Maayat Syah dan Tun Bambang, itu hanyalah dalam naskhah Raffles 18 yang diterbitkan oleh Winstedt. A. Samad Ahmad telah menyetujui bahawa perintah mengarang itu telah disampaikan oleh Sultan Abdullah Maayat Syah walaupun Tun Sri Lanang ada menyatakan pada ketika itu “zaman kerajaan Seri Sultan Alauddin Riayat Syah zillullahi fi’l’alam” (A. Samad Ahmad, 1986:3)
Namun pendapat ini disanggah oleh Teuku Iskandar yang mendakwa bahawa penulisan Sulalatus Salatin ini dimulai di Johor dan disiapkan di Aceh ketika Sultan Alauddin Riayat Syah III masih hidup.
            Kesimpulannya, perbincangan mengenai kepentingan Tun Sri Lanang ini telah berjaya mengupas tentang penglibatan beliau dalam dunia penulisan kesusasteraan Melayu sekaligus mengangkat nama beliau sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu atau yang dinamai Sulalatus Salatin. Pengarangan Sejarah Melayu adalah suatu karya atau manifestasi yang bersifat individualiti yang merujuk kepada pengarangnya iaitu Tun Sri Lanang. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Hikayat Melayu sebuah karya yang begitu indah sekali dengan idea dan imaginasinya yang bernas yang disampaikan dalam karya Sulalatus Salatin. Dengan definisi karangan dalam Ilmu Mengarang Melayu tulisan Za’ba pada tahun 1934 telah menunjukkan dan membuktikan bahawa Tun Sri Lanang adalah pengarang unggul yang menghasilkan karya agung ini iaitu Sulalatus Salatin.
Penutup
            Tun Sri Lanang seperti yang dikenali adalah seorang sasterawan Melayu yang terkenal pada zaman kesultanan Melayu bersama karya agungnya iaitu Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengarang dan meyusun kembali Hikayat Melayu di atas titah Raja Abdullah pada tahun 1612 dan berjaya menyiapkannya pada tahun 1612. Kepengarangan beliau tidak dapat disangkal lagi dengan wujudnya pelbagai fakta-fakta dan bukti-bukti yang menyokong keaslian dan ketulenan beliau sebagai penulis asal kitab Sulalatus Salatin ini. Kebijaksanaan dan kepintaran beliau dalam ilmu mengarang jelas terpancar dalam karyanya apabila beliau berjaya menyampaikan mesej dan pengajaran melalui kata-kata yang tersusun indah dalam bait-baitnya serta imaginasi lakaran peristiwa yang dilukis indah dalam kitab tersebut. Maka beliau tidak seharusnya dianggap hanya sebagai penyalin Hikayat Melayu bahkan sebagai orang yang mengarang, menulis, memperbaiki dan mempertingkatkan mutu karya awal sehingga terhasilnya karya agung dalam catatan sejarah Melayu yang dikenali umum dengan nama Sulalatus Salatin. Dengan itu terserlahlah ilmu kepengarangan dan persuratan Tun Sri Lanang dalam memartabatkan sejarah kegemilangan masyarakat Melayu seperti yang tercatat dalam karya agungnya itu.
Rujukan
  1. Amad Bahri Mardi, Tun Sri Lanang Tokoh Persuratan Melayu: Koleksi Esei Sejarah. Johor Bahru: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Johor.
  2. Amad Bahri Mardi, Tun Sri Lanang Pengarang atau Penyalin Sejarah Melayu?. Keratan Akhbar Mingguan Wasilah 17-23 Ogos 2008.
  3. Muhammad Haji Salleh, Risalah Tun Sri Lanang.
  4. Prof. Dr. Siti Hawa Haji Salleh, Kepengarangan Tun Sri Lanang.

Monday 18 July 2011

Syurga Yang Dinanti

Sayup-sayup kedengaran
Suara alam benyanyi riang
Hatiku turut terusik
Turut sama bernyanyi
Lagu riang bernada sendu
Dalam keriangan ada tangisan syukur
Damai yang ku rindu
Setiap waktu
Syurga yang hakiki
Itulah haluanku....

Haruman raihan tersebar mewangi
Jernihnya mata air salsabila
Seakan menggamit kedatanganku
Adakah ini hanya mimpi??
Oh..tuhanku..kurniakan aku hidayahMu
Moga aku selayaknya menghuni SyurgaMu....

Tangisan syukur dalam keredhaan
Hanya itulah yang mampu ku lakukan
Sebagai hambamu yang kudus
Semoga rahmatMu sentiasa mengiringi perjalanan hidupku
Menuju kehidupan yang kekal abadi
DisampingMu ya Allah....

Friday 15 July 2011

Untukmu Sahabat

Bermulanya di sini
Kita bersama meniti hari
Berjuang demi insan yang dikasihi
Mencari ilmu mengisi hati
Kita bersama menempuh onak dan duri
Tidak gentar tidak lari
Demi mendapatkan redha Ilahi

Kau dan aku saling bergandingan
Meneruskan sebuah perjuangan
Walau jalannya penuh halangan
Namun kita tetap berpimpin tangan
Dugaan dan cabaran sekadar selingan
Dalam perjuangan mengejar kejayaan

Ayuh sahabatku
Tabahkanlah Hatimu
Marilah kita bersatu
Menggapai cita yang satu
Buat sanjungan ayah dan ibumu
Bahagialah kita dengan ilmu
Hanya Allah yang maha tahu

Betapa kita mengharapkan keredhaanNya
Betapa kita mengharapkan kasihNya
Betapa kita mengharapkan cintaNya
Yang bisa membimbing kita ke jalanNya
Yang bisa memberikan kita cahayaNya
Agar kita sentiasa berada dalam rahmatNya

Tuesday 12 July 2011

Kasih nan Suci

Kasihmu selembut sutera
Sayangmu seindah purnama
Cintamu seluas alam
Rindumu seputih salji

Sungguh kau tak pernah kesal
Sungguh kau tak pernah bebal
Dengan segala kerenahku
Dengan segala rungutanku

Kau hanya tersenyum
Hatimu gembira melihat aku
Girangmu teserlah bila aku ketawa
Lukamu terpendam dalam lubuk hatimu
Tak siapa yang tahu
Segala lara yang kau tanggung

Keringatmu tak pernah kering
Uratmu jelas kelihatan
Betapa kau menanggung lelah
Demi membahagiakan zuriatmu

Sungguh aku terharu
Sungguh aku tersentuh
Disaat melihat kau terbaring lesu
Hatiku bagai dihiris sembilu

Duhai bondaku
Ampuni anakmu
Maafkan khilafku
Atas segala dosaku padamu

Betapa aku dahulu
Selalu mengguris hatimu
Sedangkan kau tak pernah mengherdik
Apatah lagi menyakitiku

Duhai bondaku
Doakan anakmu
Agar menjadi anak solehah
Agar aku setabah hatimu

Duhai bondaku
Bimbing aku dengan kasih sucimu
Bentuk aku dengan adab dan budimu
Agar aku secantik akhlakmu
Agar aku menjadi secekal dirimu
Agar aku sentiasa mencintaimu....

BONDAKU TERCINTA

Monday 11 July 2011

Cinta Shuhada

Sungguh aku terpana melihatmu
Sungguh aku terpesona dengan keperkasaanmu
Sungguh ak tertawan dengan alunan suara azanmu
sungguh aku terkesima dengan budi perkertimu

Bicaramu lembut sopan terdengar
Rias wajahmu bersih bak purnama
Langkahmu segak teratur gagah
Laksana pahlawan para anbia

Melihatmu membuat aku malu
mendengar suaramu membuat aku kaku
memiliki cintamu itu hasratku
menakluki hatimu itu hajatku

Namun kusedar siapa diriku
Layakkah aku berdampingan denganmu?
Layakkah aku menjadi suri hidupmu?
Aku hanya annissa yang lemah

Diriku tak setabah Khadijah
Jiwaku tak sekental Sumayyah
Hatiku tak sekuat Asiah
Rinduku tak sehebat Rabi'atul Adawiyah
Akalku tak sepintar Aisyah
Kasihku tak sekuat Fatimah az-Zahrah

Adakah aku  bisa menjadi kekasihmu?
Adakah aku bisa menjadi pengubat rindumu?
Adakah aku bisa menjadi penawar jiwamu?
Adakah aku bisa menjadi penyejuk hatimu?

Sedangkan kau punya segalanya
Hatimu bersih dihiasi iman
Jiwamu suci bersulam taqwa
Akalmu tajam seiring Kalamullah

Cintamu hanya pada sang Khalid
Jiwamu hanya pada Al-Aziz
Rindumu hanya pada Ar-Rahman
Kasihmu hanya pada Al-Hakim

Masihkah ada ruang untukku dihatimu?
Masihkah ada tempat untukku disisimu?
Masihkah ada waktu untukku bersamamu?
Masihkah ada jalan untukku mengiringimu??

Menjadi Khadijah dalam perjuanganmu
Menjadi Aisyah Humaira yang sentiasa mencintaimu
Menjadi Aminah kepada zuriatmu
Menjadi Balqis yang mengagumimu

Mampukah aku?
Sanggupkah aku?
Tabahkah aku?
Relakah aku?

Hanya padamu Ar-Rahim
Aku bermohon
Berikan aku kekuatan
Tingkatkan iman dan taqwaku

Tunjukkan Aku wasilahMu
Bimbing aku ke jalan redhaMu
Ampuni dosaku
Maafkan Khilafku

Agar aku bisa menjadi Khaira Annissa
Agar aku bisa menjadi Jamilah Annissa
Yang sentiasa merindui cintaMu
Yang sentiasa mendambakan kasihMu

Kurniakan aku Pahlawan shahidMu
Berikan aku Satria sejati
Yang sentiasa merindui shahid abadi
Yang sentiasa mendambakan Syurga hakiki

Agar hidupku disinari rahmatMu
Agar hatiku setenang Alam ciptaanMu
Agar jiwaku sedamai arashMu
Agar rinduku seindah SyurgaMu.

Bermulanya di sini...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..hari ni 31/01/2011…hari pertama aku mula menulis..tulis apa tu???hehe…sebenarnya dulu masa sekolah aku ni suka sangat menulis…tak kisah la apa pun..ermm…tulis sajak, syair, pantun, seloka, pape je la…maklum la sekolah kan ada majalah khas…jadi aku suka la menulis dan hantar ke sidang redaksi sekolah..boleh la asah bakat sikit…(kononnya la…hahaha..)
Ehh…lupa pulak…aku belum lagi kenalkan diri aku kan??ok…nama aku jamilah binti seliman…umur aku??ermm…tahun ni dah masuk 23 tahun..hahahaha macam tak percaya..sebab perangai aku ni kebudak-budakkan sikit…hehehehehe….yang lawaknya orang masih ingat aku ni budak sekolah menengah…alahai..macam budak kecik pulak rasa..haha..
Sebenarnya..aku dah lama nak menulis semula..tapi maklum la jadi pelajar ni sibuk sikit..aku pn jadi malas nak mengetuk papan kekunci untuk meluahkan perasaan…melainkan untuk siapkan assignment…tapi jiwa aku tetap meronta-ronta untuk meluahkan segala yang telah lama terbuku dihati. Dan mulai saat ini aku akan cuba luangkan masa untuk berkarya semula..(hahaha…cam lawak.. je)…
Tapi walau apa pun, tugasan pelajar itu yang lebih penting..aku kena la siapkan kerja aku dulu..haaa baru betul kan???ok la…firstly, biar aku story sikit pasal diri aku ni..aku seorang student kat UIA..tahun ni dah 4th year..huhu dah lama rupanya aku belajar kt KL…ermm tak lama lagi dah nak grad..tapi kan…macam mana la agaknya nanti ya??hehe aku kan masih gila-gila lagi…nak masuk alam pekerjaan ni bukan perkara main-main…huhuhu…
Tak mengapalah…lupakan dulu hal itu…sekarang ni aku kena focus pada study dulu…aku ni tak suka nak serabutkan kepala otak dengan benda-benda yang tak berfaedah..aku jenis yang happy go lucky..suka ketawa dan buat lawak..hehehe..tapi bukan lawak bodoh ok!!....haha…biasa la orang yang gila-gila memang macam ni…huhuhu..
Dulu, roommate aku masa kat matrik ada cakap, aku ni jenis yang perfectionist…betul ke???maybe la…dia kata aku sangat tekankan pada kekemasan..ya itu aku setuju…tapi aku ni kadang-kadang clumsy juga…hahaha…Cuma satu je…aku sangat sensitive..mudah terasa dan mudah menangis juga…tapi mudah memaafkan juga bila orang dah minta maaf…aku tak suka bergaduh atau bermasam muka dengan sesiapa pun..aku suka berkawan…hehe..
Ok lah…rasanya setakat ni dulu aku nak cerita pasal diri aku..lagipun, tak ada apa yang menarik pun pasal diri aku ni..aku Cuma seorang budak perempuan yang sukakan seni..suka senyum dan ketawa..bukan apa just nak hiburkan diri sendiri je..hehe…takkan lah nak serious je sepanjang masa kan??so kita kena lah happy…cheer up yourself ok!!!...even thought you are not in a good condition..keep smiling and think positively…Insha-Allah you will find your way…..(^^,)….