Pages

Tuesday 21 January 2014

AKU TERIMA NIKAHNYA BHGN. I

“AKU TERIMA NIKAHNYA…”

“Aku terima nikahnya Nur Aliya binti Ahmad dengan mas kahwinnya lapan puluh ringgit tunai”.
Berderai air mata Aliya saat lafaz itu terungkap dari bibir Muhammad Najmi bin Abdul Aziz. Lelaki yang kini telah sah menjadi suaminya. Sungguh dia berasa sangat bahagia dan bersyukur ke hadrat ilahi diatas kurniaan itu. Hanya dia yang merasai betapa gembiranya hati kerana akhirnya dia bernikah juga. Memang inilah yang dikatakan jodoh, ia telah ditetapkan Allah S.W.T. dan kita sebagai hambanya wajib mempercayai apa yang dimaksudkan dengan qada’ dan qadar.


******

            “Assalamualaikum, hai termenung jauh nampaknya Kak Liya?”. Aisyah menegur kakaknya Aliya yang kelihatan sedang mengelamun jauh di pangkin kayu di bawah pohon mempelam bersebelahan rumah mereka.

            “Waalaikumusalam, Eh Aisyah!.. bila balik? Terkejut kakak”. Jawab Aliya setelah menyedari adik bongsunya itu sudah berdiri disebelahnya.

            “Amboi Kak Liya ni berangan sampai tak sedar Aisyah kat sebelah ya?”. Sengaja Aisyah mahu menyakat kakak kesayangannya itu. Dia lalu tersenyum setelah melihat wajah kakaknya sudah kemerah-merahan.

            “Eh Aisyah ni..mana ada kakak berangan, Cuma terkenangkan hari pernikahan kakak je”. Jawab Aliya cuba menyangkal dakwaan adiknya itu.

            “Kenapa Kak Liya? Ada yang tidah kena ke? Kakak tidak sukan Abang Najmi ke?” Tanya Aisyah ingin tahu.

Setahu dia, kakaknya sudah tiga bulan berkahwin dengan abang iparnya itu. Dan dari cerita kakaknya, mereka berdua sudah lama saling mengenali sejak tahun pertama kakaknya menjejakkan kaki ke menara gading lagi. Mana mungkin kakaknya menyesali perkahwinan mereka kerana kedua-duanya kelihatan bahagia bersama.

            “Eh? kakak tentulah sayangkan Abang Najmi.. dia kan suami kakak”. Balas Aliya penuh yakin.
“Sudah lah tu.. jom kita masuk, hari pun dah nak maghrib ni”. Aliya mengajak adiknya masuk ke dalam rumah.

            “ Baiklah Kak Liya” Jawab Aisyah patuh.

Mereka berdua berjalan beriringan untuk masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Aliya tidak mahu memanjangkan persoalan tadi kerana tabir petang sudah hampir melabuhkan tirainya. Dia juga faham keadaan adiknya yang baru pulang dari sekolah setelah mengikuti aktiviti kokurikulum. Namun dalam hatinya, dia masih mengingati peristiwa itu dan tiak mungkin ianya dapat dilupakan buat selama-lamanya.

******

Malam itu, setelah selesai solat Isyak bersama emak dan adiknya Aisyah mereka berbual-bual bersama sambil menonton televisyen. Mak Teh, tiba-tiba bertanya kepada Aliya tentang kandungannya.
“Liya, bagaimana dengan kandungan kamu itu, mak tengok kamu seolah-olah tidak bermaya sahaja?”. Mak Teh risau melihat keadaan anak perempuan keduanya itu.

Dia Cuma ada tiga orang anak sahaja. Yang sulung lelaki, bernama Muhammad Yazid, sudah berkahwin dan kini menetap di Sarawak kerana bertugas sebagai seorang tentera. Yang kedua itulah Nur Aliya, baru tiga bulan berkahwin dan kini sedang menghamilkan anak pertama. Dan yang bongsu adalah Nur Aisyah, pelajar tingkatan lima yang akan mengambil peperiksaan SPM pada hujung tahun ini.

“Alhamdulillah.. Liya sihat sahaja, Mak janganlah risau ya”.

 Balas Liya lembut. Dia tahu ibunya begitu risaukan kesihatan dirinya tambahan lagi ketika berbadan dua. Dia sudah mengalami alahan sejak kandungannya berusia satu bulan lagi. Begitulah sikap Mak Teh. Dia sangat mementingkan anak-anaknya terutamanya setelah kematian suaminya ketika mereka masih kecil lagi.
“Eloklah kalau macam itu.. lega hati Mak mendengarnya.. oh ya, bila Najmi tamat bertugas di luar daerah?”. Mak Teh lega mendengar jawapan Aliya itu.

Dia kemudian bertanya pula keadaan menantunya yang bertugas di luar daerah dan kerana itulah Aliya dihantar pulang ke kampung buat sementara waktu. Dia sangat bersyukur kerana Aliya berkahwin dengan Najmi, seorang anak muda yang mempunyai pengetahuan agama yang baik, penyayang dan bersopan santun orangnya. Sekurang-kurangnya dia dapat menutup mata dengan aman kerana yakin Najmi dapat membimbing puterinya ke jalan yang diredhai Allah. Begitu jugalah yang diharapkan kepada anak bongsunya Aisyah, agar mendapat seorang suami yang beriman dan boleh membimbing ke arah kebaikan.
“InsyaAllah Mak, Abang Najmi akan pulang dua hari lagi”.

Aliya menjawab pertanyaan ibunya itu dengan senyuman. Dalam hatinya, dia sangat merindui suaminya itu walaupun baru lima hari tidak bersua muka. Najmi hanya menjalankan tugas di luar daerah selama seminggu sahaja. Namun bagi Aliya seminggu itu dirasakan seperti setahun lamanya dan dia tidak sanggup berjauhan lama-lama dengan suami tercinta.

“Marilah kita masuk tidur, sudah lewat malam ni”. Kata Mak Teh kepada kedua-dua puterinya sambil melirikkan matanya ke arah jam yang tergantung di dinding yang jarumnya sudah menunjukkan ke angka 12.

“Baiklah Mak.. jom kakak kita masuk tidur”. Tingkah Aisyah menuruti perintah ibunya sambil menarik tangan kakaknya kearah bilik.

Aliya hanya menuruti adiknya dan mereka berdua kemudian bersalam dengan si ibu sebelum melangkah masuk ke bilik tidur. Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka termasuk abang sulung mereka untuk bersalam dengan ibu dan arwah ayah mereka sejak kecil lagi sebelum tidur dan ketika hendak pergi ke mana sahaja. Itulah antara didikan yang telah diterapkan oleh Mak Teh dan arwah suaminya bagi mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berbudi pekerti.

******

Azan subuh sayup-sayup kedengaran dari corong pembesar suara di surau berdekatan. Aliya sudah pun terjaga daripada tidurnya. Dia terasa begitu segar sekali pagi itu tidak seperti hari-hari sebelumnya, dia sering terasa lesu setelah bangun tidur. Dia tidak tahu mengapa pagi itu hatinya berasa tenang sekali ketika mendengar alunan azan yang begitu gemersik. Aliya menutup mata rapat-rapat lalu hatinya berbisik memuji kebesaran Allah S.W.T. dan dia bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk melihat keindahan alam ini.

“Aisyah, bangun sayang!.. dah subuh ni”. Aliya mengejutkan adik kesayangannya yang masih berselimut diulit mimpi. Nyenyak sungguh lena Aisyah hingga tidak sedar subuh sudah bertandang.
“Ala.. kejap la Kak Liya”. Rengek Aisyah manja.

“Eh?.. bangun-bangun, nanti terlewat pula solat subuhnya”. Aisyah bingkas bangun dari tidurnya. Dia kemudian tersenyum melihat kakaknya mengemas katil mereka.

“Apa yang Aisyah tersengeh-sengeh lagi tu? Cepat pergi ambil wuduk!.. Kakak dah siap ni.. Mak pun dah tunggu kita tu!”. Arah Aliya menyuruh adiknya segera bergegas ke bilik air untuk berwuduk. Sudah menjadi kebiasaan kepada keluarga mereka untuk bersolat berjemaah kecuali jika ada kekangan.

                “ Baiklah Kak Liya!.. Hehehe!”. Jawab Aisyah menahan tawa. Geli hatinya melihat kakaknya begitu bersungguh-sungguh mengarahkannya segera berwuduk. Memang itulah sifat kakaknya, dia sentiasa tegas kepada adiknya terutama dalam hal menjaga solat.

******

                Pagi yang hening dengan kicauan burung yang berterbangan mencari rezeki begitu mendamaikan hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Suasana kampung yang begitu tenang dan nyaman dengan pemandangan sawah pagi yang terbentang luas begitu mengasyikkan. Deruan air sungai yang mengalir tenang dihujung kampung yang ditabiri bukit-bukau yang menghijau, diserikan lagi dengan lambaian pepohon kelapa yang meliuk-lentuk di sepanjang jalan kampung menyusur sawah. Begitu damainya hati, tenangnya sanubari dengan keindahan langit Kedah di pagi hari dengan suasana segar dan aslinya kehidupan ini. Itulah yang dirasai Aliya setiap kali pulang ke kampung halamannya di utara tanah air.

            Pagi itu dia berjalan-jalan bersendirian setelah bersolat subuh dan membersihkan diri terlebih dahulu. Sudah menjadi rutin Aliya sejak zaman kanak-kanak lagi untuk bersiar-siar di tebing sawah sambil menghirup udara pagi yang segar ketika mengikut arwah ayahnya ke sawah. Namun semua itu hanya tinggal kenangan yang masih segar berlegar di ruang fikirannya. Masih segar dalam ingatannya ketika dia bersama-sama dengan arwah ayahnya, abangnya dan adiknya menangkap ikan di sawah menggunakan serkap ikan yang diperbuat daripada buluh. Mereka begitu gembira sekali ketika itu kerana berjaya menangkap beberapa ekor ikan puyu, sepat dan haruan. Ibunya pula ditugaskan untuk memasak gulai lemak ikan puyu manakala yang selebihnya digoreng sahaja. Kecur liurnya ketika mengenangkan gulai lemak yang menjadi kegemaran mereka adik-beradik itu. Aliya tersenyum sendirian saat terkenangkan kisah silamnya.

            Aliya duduk di pangkin kayu buatan abang sulungnya di bawah pohon mempelam berdekatan rumah setelah penat berjalan-jalan di sekitar kampung sebentar tadi. Dia menarik nafas lega setelah dapat berehat di bawah pohon mempelam itu. Matanya melirik ke arah suara yang kedengaran seperti orang bersembang di hadapan rumah. Kelihatan ibunya sedang berbual-bual dengan jiran mereka, Mak Cik zainab yang merupakan jiran sebelah rumah yang sangat rapat dengan keluarga Aliya. Dia tersenyum sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah Mak Cik Zainab. Tanpa disedari adiknya Aisyah sudah pun duduk di sebelahnya lalu mencuit pinggangnya. Terkejut Aliya bukan kepalang dengan tindakan adiknya itu. Memang sudah menjadi tabiat Aisyah yang suka benar mengusik kakaknya jika ada peluang.

            “Allahu Akbar!”.. latah Aliya dek kerana kegelian dicuit adiknya. Dia sungguh tidak menyangka akan disakat lagi setelah dikenakan adiknya petang semalam.

            “Hahahahaha!.. Aisyah ketawa geli hati melihat telatah kakaknya yang terkejut beruk itu. Kali ini dia berjaya lagi mengenakan kakaknya itu.

            “Ishh Aisyah ni.. tak kasihankan kakak ke? Kalau anak dalam perut ni terkejut juga macam mana? Gerutu Aliya cuba menakut-nakutkan adiknya pula.

            “Ala Kak Liya.. Aisyah gurau saja, I’m sorry madam!”. Balas Aisyah menyesali perbuatannya tadi. Sungguh dia lupa kakaknya itu sedang berbadan dua.

            “It’s okay my dear!  Lain kali jangan buat lagi tau!”. Kasihan pula Aliya melihat wajah adiknya yang diselubungi rasa bersalah itu. Niatnya hanya ingin bergurau kembali dengan adiknya itu.

            “Tak ada apalah, kakak gurau je tadi tu”. Tambah Aliya membetulkan keadaan.

            “Ala.. kakak ni!”. Tingkah Aisyah tersipu malu kerana dirinya pula yang terkena.

 Aliya ketawa melihat tetah adiknya itu. Memang mereka rapat sejak kecil lagi walaupun Aliya lapan tahun lebih tua daripada Aisyah. Disebabkan hal itu jugalah mereka berdua sangat akrab kerana Aliya sangat menginginkan adik perempuan sebagai temannya.

“Ada apa pagi-pagi lagi sudah menyakat kakak ni? Tanya Aliya hairan dengan adiknya yang kelihatan seperti ingin bertanyakan sesuatu kepadanya.

“Hehehe, tak ada apa-apa. Saja nak berbual-bual dengan kakak”. Balas Aisyah cuba menyembunyikan sesuatu.

“Aisyah, cakap saja lah.. Kakak tahu mesti ada sesuatu yang Aisyah nak Tanya pada kakak kan? Duga Aliya.

“Err.. Kalau Aisyah Tanya sikit, kakak jangan marah ya?” Aisyah memulakan bicaranya.
“Ok! Kakak janji tak marah. Tanya lah, apa dia?” Balas Aliya ingin tahu.

“Sebenarnya apa yang kakak menungkan petang semalam itu? Macam ada hal serius saja?” Tanya Aisyah ragu-ragu.

“Owh.. tak ada apa-apa, kakak Cuma terkenangkan hari perkahwinan kakak dengan Abang Najmi. Insan yang tak pernah kakak dambakan untuk menjadi suami kakak”. Jawab Aliya sambil membuang pandang.

“Jadi, apa maksud kakak sebenanya? Boleh kakak ceritakan?”. Aisyah mulai berminat ingin tahu kisah cinta kakaknya itu.

“Betul Aisyah nak tahu?” Duga Aliya terhadap kesungguhan adiknya itu.

“Ya lah!” Jawab Aisyah ringkas.

Aliya termenung sejenak. Dia cuba mengingati kembali detik perkenalannya dengan Najmi dan kisah persahabatan mereka sepanjang bergelar mahasiswa. Dengan tenang Aliya memulakan bicaranya untuk menceritakan kisah perkenalan dengan suami tercinta kepada Aisyah.

******

Hari ini pertama Aliya mengikuti Kursus Kepimpinan dan Ketahanan Diri anjuran Kelab Pembangunan Personaliti di kampusnya. Kursus itu dijalankan selama dua minggu sempena cuti semester bertempat di Kem Mega Crystal Kuala Selangor. Hati Aliya berbunga riang kerana dapat menyertai kursus tersebut bersama dengan sahabat-sahabat baiknya. Ini bukan kali pertama dia mengikuti kursus seperti itu kerana Aliya merupakan seorang gadis yang lasak tetapi dia seakan-akan dapat merasakan suatu kelainan dalam kursus kali ini. Tambahan pula dia bakal merasai sendiri latihan ala-ala tentera yang menjadi salah satu modul kursus. Mungkin itulah yang membuatkan Aliya begitu teruja sekali dan tidak sabar untuk mengharunginya.

“Assalamualaikum! Hai Aliya!” Sapa Kamilah dari belakang.

“Waalaikumusalam waramatullahi wabarakatuh!” Jawab Aliya sambil tersenyum.

“Yang lain-lain belum sampai lagi ke? Kita dah nak bertolak dalam masa sepuluh minit lagi ni.” Tambah Aliya sambil matanya meliar memerhatikan sekeliling kalau-kalau terlihat kelibat dua orang lagi rakannya iaitu Durrah dan Humaira.

“Alahai Liya, kau ni macam tak tahu saja, Du’a  dan Mai lambat lagi la tu”. Balas Kamilah sambil tersenyum. Aliya turut sama tersenyum kerana mengerti maksud Kamilah. Mereka sudah faham benar dengan perangai dua orang sahabat mereka yang sering kali terlambat kalau hendak ke mana-mana.

Dari kejauhan kelihatan Durrah dan Umaira yang sedang berlari-lari anak menuju kea rah Aliya dan Kamilah. Mujurlah mereka berdua sempat tiba sebelum bas bertolak. Kelihatan kedua-duannya termengah-mengah menahan penat akibat berlari tadi.

“Maaf Liya, Mila kami lambat sikit”. Sapa Durrah sambil bersalaman dengan kedua-dua rakannnya itu diikuti oleh Umaira. Sambil tersenyum dia memohon maaf atas kelewatan mereka.

“Tak apalah, nasib baik sempat kalau tidak mesti kamu berdua dah ditinggalkan bas”. Jawab Kamilah sambil menepuk bahu Durrah.

“Semua pelajar diminta berkumpul di hapan saya! Saya akan periksa kehadiran anda semua”. Kedengaran suara presiden kelab sedang menjerit meminta para ahli kelab untuk berkumpul di hapadannya. Setelah memeriksa kehadiran, mereka semua dibenarkan menaiki bas yang telah lama menunggu. Kesemuanya ada empat buah bas, dua buah untuk pelajar lelaki dan dua buah untuk pelajar perempuan.

“Aduh! Sakitnya. Aliya menjerit kecil apabila terasa bahunya dilanggar orang. Dia berpaling dan tergamam apabila melihat seorang pemuda yang melanggarnya itu sedang mengambil begnya yang tercampak ke tanah.

“Maafkan saya, saya tak sengaja”. Aliya hanya membisu dan lelaki tadi terus bergegas menaiki bas dihadapannya tanpa sempat Aliya berkata apa-apa.


Akan Bersambung…….

No comments:

Post a Comment